Pegawai-pegawai Bank Negara Malaysia tidak membuat sebarang kenyataan berhubung laporan kekurangan separuh rezab emas negara ini. Menurut Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), rezab emas negara ini menurun separuh pada Ogos tahun ini, daripada 2.34 juta auns pada Julai. Seorang pegawai kanan BNM yang tidak mahu dikenali berkata isu-isu pengurusan rezab bank itu bukannya untuk pengetahuan umum. "Rakyat mesti yakin pada kebijaksanaan kami," jelasnya kepada malaysiakini .

Pada 10 Disember lalu, Statistik Kewangan Antarabangsa IMF mendedahkan rezab emas Malaysia menurun sehingga separuh pada Ogos.

Profesor ekonomi Universiti Malaya Jomo Kwame Sundaram berkata data-data IMF itu menunjukkan penurunan 1.17 juta auns. Beliau menambah rezab itu dijual ketika harga pasaran emas dalam keadaan rendah.

"Harga emas di Pasaran Logam London (LME) jatuh dalam masa dua bulan berturut-turut kepada US$252.55 bagi setiap auns pada 25 Ogos dari US$261.50 17 Ogos," katanya. Beliau menjelaskan, khabar-khabar angin kemungkinan pihak Malaysia menjual besar-besaran rezab

negara ini menambahkan lagi kehjatuhan harga emas.

"Dengan mengambil harga purata US$256.72 bagi setiap auns pada Ogos lalu, 1.17 juta auns emas mungkin telah dijual dengan nilai US$300.4 juta atau kira-kira RM1.14 ribu juta.

Jomo mempersoalkan keperluan bank pusat negara ini menjual separuh daripada rezabnya pada ketika harga yang rendah. "Saya percaya ia tidak kena mengena dengan imbangan pembayaran," katanya lagi, kerana Malaysia mempunyai imbangan pembayaran yang kukuh.

Pensyarah ekonomi Charles Santiago berkata bahawa menjadi amalan biasa bank-bank pusat menjual sebahagian rezab emas mereka, tetapi jumlah emas yang sebegitu besar dalam kes ini menimbulkan kemusykilan.

"Bagi mengelakkan sebarang keraguan, dua isu sewajarnya dibangkitkan hal isu ini. Pertama, kenapa BNM menjual rezab itu dalam harga yang begitu rendah? Kedua, kita patut bertanya bagaimana urusniaga itu dijalankan, di pasaran mana dan siapakah pembelinya."

Jomo berpendapat bahawa ada kemungkinan penjualan emas pada harga rendah itu bertujuan meningkatkan kecairan rezab negara ini menjelang 1 September lalu apabila dana-dana asing yang tersekat di negara ini mula dibenarkan menarik keluar pelaburan mereka.

"Apakah benar jualan itu dirancangkan dengan masa penarikan besar-besaran dana-dana asing seperti dijangkakan oleh pihak berkuasa kewangan negara ini pada 1 September lalu?" soalnya.

Menurut Gabenor BNM, Ali Abul Hassan Sulaiman, sebanyak US$328 juta (RM1,246 ribu juta) dana asing ditarik keluar pada 1 September, hari pertama dibenarkan dana-dana asing yang melabur saham mereka di sini berbuat demikian tanpa levi selepas genap setahun negara ini memperkenalkan langkah kawalan modal.