Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Datuk Sahari Mahadi mengaku beliau tidak pernah membuat aduan mengenai jumlah lebihan kos projek pembelian tanah di Mukim Klang pada mesyuarat pasca kabinet.

    

Beliau berkata mesyuarat pasca kabinet mula dihadiri pada November 2002 hingga 2003, namun tidak memaklum mengenai lebihan kos berbanding penilaian yang dibuat sendiri oleh jabatannya.

    

Saksi pendakwaan kedua itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wong Kian Kheong pada perbicaraan kes Tun Dr Ling Liong Sik yang didakwa menipu Kerajaan Malaysia dalam pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion dalam  skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

    

Sahari, 63, berkata menerusi surat berhubung cadangan membeli tanah di Pulau Indah untuk pembinaan 'Transshipment Megahub' bertarikh 29 September 2000, nilai yang disarankan ialah RM21 bagi satu kaki persegi (skp).

    

"Dengan menggunakan kaedah 'Aliran Tunai Diskaun' (DCF) di mana kadar sasaran ditetapkan 8.25 peratus, kadar kupon 6 peratus dan terma bayaran balik 10 tahun, didapati nilaian tanah sebanyak RM25 skp ke atas boleh dipertimbangkan untuk maksud keluaran bon, walaupun nilai tanah hanya RM21.

    

"Harga yang lebih tinggi daripada RM25 dapat dipertimbangkan sekiranya tempoh 15 tahun," katanya.

    

Sahari berkata kesimpulan itu adalah berdasarkan enam terma yang dipohon tuan tanah iaitu bayaran pendahuluan tahun pertama sebanyak lima peratus, kadar kupon 6.5 peratus, tempoh bayaran balik 10 hingga 15 tahun, tiada faedah untuk tahun pertama dan kedua, bayaran faedah sahaja untuk tahun ketiga dan keempat selain bayaran balik secara tahunan baki termasuk faedah selama enam tahun atau 11 tahun, serta tempoh baki 10 atau 15 tahun.

Sementara itu, ditanya mengenai 'Minit Mesyuarat Pengambilan Tanah Mukim Klang, Pulau Indah Seluas 1,000 ekar Untuk Projek Pembesaran Aktiviti Pelabuhan Klang' yang menyatakan penjelasan Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) berhubung pembelian melibatkan cadangan kadar kupon 7.5 peratus, Sahari berkata beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

    

Minit mesyuarat itu turut menyatakan cadangan harga tanah sebanyak RM25 skp berasaskan penilaian JPPH, tempoh bayaran 15 tahun, 10 peratus bayaran pendahuluan dan moratorium selama empat tahun.

    

Dr Ling didakwa menipu Kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000 sedangkan dia tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

    

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.  

    

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

    

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi disambung esok.

- Bernama