K'jaan jamin barangan keperluan mencukupi
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan semua bekalan makanan bagi keperluan Hari Raya Aidilfitri ini mencukupi memandangkan kementerian mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak masalah kekurangan bekalan.
Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata kementerian membuat perancangan sebulan sebelum Ramadan antaranya dengan memberikan permit import tambahan kepada pengusaha yang mahu mengimport daging, ikan serta ayam dari luar negara.
"Kesimpulannya kesemua bekalan makanan kita jamin mencukupi kerana langkah itu diambil sejak awal lagi. Sepatutnya memang tidak ada masalah mengenai perkara itu," katanya selepas menyampaikan bantuan wang ihsan banjir kepada petani Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) diKota Bharu, hari ini.
Noh berkata, selain bekalan ayam dijamin mencukupi, pihak penternak juga bersetuju untuk menjual ayam pada harga ladang, RM5.20 sekilogram.
"Bekalan daging ada sedikit masalah dan kita berharap bekalan dari Sudan dan China akan dapat masuk segera dan itu terpulang kepada langkah yang diambil oleh syarikat yang dibenarkan mengimport bekalan itu," katanya.
Beliau berkata, setiap syarikat yang mahu mengimport bekalan daging dan ayam perlu mendapatkannya daripada rumah sembelihan luar negara yang mendapat kelulusan kementerian dan mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Selain itu, beliau berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menambah 58 buah lagi pasar tani baru di seluruh negara menjadikannya kini lebih 400 semuanya yang bertujuan bagi menstabilkan harga barangan dan memastikan bekalan sayuran mencukupi.
Beliau juga meminta FAMA supaya dapat menjual barangan keperluan pada harga yang lebih murah kepada pengguna.
- Bernama

