Kawasan sekitar Muzium Sarawak dan Padang Merdeka hari ini tenang walaupun sebelum ini Gerakan Untuk Perubahan Sarawak (MoCS) merancang untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran di situ bermula jam 2 petang ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mun Kock Keong ketika dihubungi berkata, keadaan setakat ini adalah tenang dan terkawal tanpa sebarang perhimpunan haram di kawasan tersebut.

"Keadaan tenang dan terkawal sehingga sekarang serta tiada tangkapan dibuat oleh pasukan polis yang mengawal keselamatan,” katanya.

Semalam, Mun berkata, polis telah mendapat perintah mahkamah untuk mengambil tindakan terhadap penganjur dan mereka yang mengambil bahagian dalam perhimpunan itu jika enggan mematuhi arahan polis.

Ini termasuk menahan sembilan individu termasuk pemimpin MoCS Franchis Siah jika mereka berada di kawasan sekitar, katanya.

Tinjauan di sekitar kawasan tersebut mendapati pasukan polis lengkap berpakaian seragam dan berpakaian preman kelihatan berada di beberapa lokasi strategik termasuk di kawasan Tugu Peringatan Sarawak berhampiran Muzium Sarawak. Helikopter unit udara polis juga kelihatan berlegar di ruang udara berdekatan kawasan itu.

Semalam, Ketua MoCS Franchis Siah dalam laman blognya memberitahu perhimpunan tersebut dibatalkan selepas mendapat nasihat dan mengambil pandangan tentang keselamatan awam yang diberikan oleh polis.

- Bernama