Kekuatan domestik tangani ekonomi tak menentu
Meskipun kedudukan ekonomi dunia tidak menentu, kerajaan yakin Malaysia memiliki kekuatan domestik yang mencukupi untuk menangani impak itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Nor Mohamed yang mengetuai Unit Perancang Ekonomi (EPU), berkata walaupun sudah semula jadi Malaysia akan terjejas akibat kelembapan ekonomi dunia, ia bukalah kali pertama negara berhadapan situasi begitu.
"Kepimpinan negara sudah berhadapan situasi begini beberapa kali sejak merdeka, termasuk krisis ekonomi dunia tiga tahun lepas.
"Pada krisis ekonomi 2008, kita tidak sahaja berjaya menangani keadaan, malah melantun dan berada pada kedudukan paling kukuh untuk bergerak ke depan apabila ekonomi pulih," katanya.
Beliau juga yakin walaupun negara akan terjejas akibat kelembapan dunia, ia masih mampu mencatat pertumbuhan KDNK lima hingga enam peratus tahun ini.
Sementara itu di IPOH, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata Malaysia akan dapat meningkatkan KDNK separuh kedua tahun ini, disokong oleh pengeluaran yang lebih baik dalam sektor petroleum.
Pencapaian pertumbuhan 5.5 peratus pada separuh kedua perlu dicapai bagi memastikan Malaysia mencapai sasaran pertumbuhannya tahun ini, dan menambah faktor yang menjejaskan pertumbuhan sektor Petroleum perlu ditangani dalam tempoh ini, katanya kepada pemberita selepas program Nur-Hidayah anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Parlimen Tambun, di George Town.
Mengenai perbelanjaan pembangunan negara, beliau berkata, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mewujudkan sistem pemantauan yang dilakukan secara mingguan bagi memastikan rancangan pembangunan terlaksana, katanya.
--Bernama

