Elak jalan raya jadi 'lautan pusara', kata Najib
Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pengguna jalan raya yang mahu pulang bercuti sempena Aidilfitri ini supaya merancang perjalanan bagi "mengelak jalan raya menjadi lautan pusara tidak bertanda".
Perdana Menteri turut berpesan kepada pemandu bahawa dalam keghairahan menyambut hari raya bersama keluarga dan sahabat handai di kampung halaman, mereka perlu bersedia daripada segi mental dan fizikal kerana sedikit kelalaian boleh mengundang tragedi.
"Saya secara peribadi amat prihatin serta sedih dengan kes-kes kemalangan yang turut mengorbankn nyawa dan mengakibatkan kesengsaraan kepada mereka yang terbabit.
"Apabila bercakap mengenai keselamatan jalan raya ianya berkaitan dengan kemalangan jalan raya walaupun satu tragedi, saya percaya ia dapat dikurangkan jika pemandu menitikberatkan aspek-aspek keselamatan dan ciri-ciri pemanduan berhemah," katanya ketika menyampaikan mesej khas sempena Aidilfitri menerusi rakaman video di Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) di Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis pelancaran program khas itu dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
- Bernama

