Ribuan banjiri Seri Perdana
Ribuan rakyat berbilang kaum mula mengunjungi Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di Putrajaya yang bermula tengah hari ini.
Orang ramai mula membanjiri pekarangan Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri, sejak pukul 11 pagi untuk sama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri bersama pemimpin negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berbaju Melayu warna merah lembayung bersama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta barisan menteri Kabinet mula menerima tetamu pada 12 tengah hari.
Cuaca panas terik tidak melunturkan semangat orang ramai yang berbaris untuk bersalaman dengan Perdana Menteri dan para kenamaan.
Antara yang hadir ialah pemimpin komponen BN, pemimpin parti-parti politik, duta asing dan ahli korporat.
Rumah terbuka itu dijadual berlangsung sehingga 6 petang.
Agong adakan rumah terbuka Aidilfitri di Istana Negara
Di Kuala Lumpur, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di Istana Negara, hari ini.
Sesi rumah terbuka bagi orang kenamaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Mneteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta menteri Kabinet dan diplomat asing.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, antara 500 tetamu yang menghadiri rumah terbuka itu.
Selepas rumah terbuka untuk orang kenamaan itu, Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah mengadakan rumah terbuka untuk orang ramai.
Penggal Seri Paduka berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadual berakhir pada Disember ini.
- Bernama

