K'jaan diminta henti beri 'wang mudah' kepada IPP
Sebarang rundingan semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan penjana tenaga bebas (IPP) mesti diselesaikan menjelang akhir November ini, kata Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer).
“Titik kemenangan adalah apabila PPA tamat, IPP tidak akan memperoleh satu sen pun selepas tempoh perjanjian. Akan tetapi, perkara ini hanya sahih dan berguna sehingga akhir 2011.
“Maka sebarang rundingan semula mesti diselesaikan menjelang 30 November 2011,” kata presidennya S Piarapakaran ( kanan ).
Dalam kenyataannya hari ini, Piarapakaran berkata “seni melambatkan” rundingan semula selepas 2011 hanya merugikan kerajaan, rakyat dan perniagaan.
“Perdana menteri telah berjanji untuk runding semula PPA untuk manfaat rakyat dan negara.
"Bagaimanapun, kelewatan dalam rundingan semula hanya memberikan berita buruk dan mencabar kerajaan persekutuan dalam komitmennya untuk melindungi kepentingan rakyat,” katanya.
PPA generasi pertama akan berakhir antara 2015 hingga 2016. Ia memberikan ruangan 4 hingga 5 tahun untuk membina loji janakuasa baru, jika perlu.
Piarapakaran berkata, merujuk kepada projek 2,400 MW hidroelektrik Bakun apabila Sarawak tidak membenarkan tenaga dibekalkan kepada semenanjung, “bidaan terbuka dikompromi” terpaksa dibuka untuk dua loji arang batu berkapasiti 1,000 MW setiap satu.
Senarai hitam
Katanya, Logi pertama diberikan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana bidaan terbaik manakala loji kedua diberikan kepada Malakoff tanpa bidaan baru kerana tergesa-gesa untuk membina loji baru - yang menyebabkan kos bidaan setinggi RM500 juta.
“Ini adalah disebabkan kita telah diletakkan pada satu situasai 'kekurangan masa pembidaan',” kataPiarapakaran .
“Ini adalah apa yang diharapkan oleh IPP generasi pertama dalam proses rundingan semula ini. Maka, kerajaan persekutuan tidak boleh membenarkan perkara ini berlaku semula atau terpaksa memikul tanggungjawab kegagalan dalam rundingan semula.”
Sementara itu, Awer mencadangkan kerajaan melaksanakan pemotongan bayaran kapasiti IPP mulai tahun 2012 dan bayaran kapasiti baru patut merangkumi kos operasi yang diaudit, laporan kejuruteraan dan keuntungan yang dikawal selia sahaja.
"Proses ini mesti dilaksanakan dengan telus. Jika penjana bebas bersetuju dengan cadangan ini, maka pelanjutan operasi boleh diberikan secara regim pelesenan sahaja (tiada lagi PPA)," kata Piarapakaran.
Katanya, jika IPP enggan bersetuju model itu, PPA mesti ditamatkan bila tiba masanya tetapi dengan pelaksanaan seperti berikut:
- Membuka bidaan kompetitif mulai 1 Disember 2011 kerana kita mempunyai masa cukup untuk membina lojo baru.
- IPP yang menolak cadangan potongan bayaran kapasiti tidak boleh dibenarkan (disenarai hitam) untuk membuat bidaan untuk projek penjanaan baru.
- Senarai hitam patut dipanjangkan kepada pemegang saham, ahli lembaga pengarah IPP, anak syarikat serta syarikat induk IPP.

