PM bidas pihak uarkan konsep negara kebajikan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membidas pihak tertentu yang menguar-uarkan konsep negara kebajikan supaya tidak berlagak seolah-olah mereka orang pertama yang menemui formula itu.
"Bukankah Kerajaan Barisan Nasional sudah sejak sekian lama mengamalkan konsep negara berkebajikan?" katanya ketika membentang Bajet 2012 petang ini.
Walaupun Najib yang juga presiden Umno tidak menyebut secara langsung pihak itu, tetapi PAS sebelum ini mengumumkan "Membangun Negara Berkebajikan " yang menjadi tema muktamar parti itu Mei lalu.
Dalam ucapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilapor menegaskan komitmen merealisasikan bentuk pemerintahan itu yang didakwanya telah diperkenalkan di negeri Pakatan, termasuk Perak dan Terengganu yang pernah dimenangi mereka.
Katanya, negara berkebajikan yang ingin dicapai bukan hanya hebat pencapaian ekonomi, Pakatan juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material tetapi jiwa kosong.
Najib berkata, pendekatan itu sudah dilaksanakan BN, melalui:
Pertama : Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal RM2.40 sen, rakyat hanya bayar RM1.80. Subsidi kerajaan berjumlah 60 sen atau 25 peratus dari harga sebenar;
Kedua
: Bagi setiap kilogram gula, harga asal RM2.50, rakyat hanya bayar RM2.30. Subsidi Kerajaan berjumlah 20 sen atau 8 peratus dari harga sebenar;
Ketiga : Bagi setiap kilogram minyak masak, harga asal RM4.75, rakyat hanya bayar RM2.50. Subsidi Kerajaan berjumlah RM2.25 atau 47 peratus dari harga sebenar; dan
Keempat : Bagi setiap kilogram tepung gandum, harga asal RM1.90, rakyat hanya bayar RM1.35 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 55 sen atau 29 peratus dari harga sebenar.
Dalam pembentangan Najib hari ini, beliau menegaskan, keseluruhan subsidi bahan makanan asas itu menelan belanja RM2.3 bilion.
"...dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaya atau miskin, bandar atau luar bandar. Oleh yang demikian itu, kita ingin bertanya, tidakkah ini dinamakan negara kebajikan?" katanya.
Bahan makanan asas
Tidak cukup sekadar itu, kata perdana menteri, subsidi kerajaan bukan terhad hanya kepada bahan makanan asas sahaja, tetapi ia juga merangkumi subsidi produk petroleum dan bantuan tunai yang melibatkan sebanyak RM17 bilion.
Menurut Najib, ini meliputi:
Pertama : Bagi setiap liter petrol RON95, harga asal RM2.75, rakyat hanya bayar RM1.90. Subsidi kerajaan berjumlah 85 sen atau 31 peratus dari harga sebenar;
Kedua : Bagi setiap liter diesel, harga asal RM2.66, rakyat hanya bayar RM1.80. Subsidi Kerajaan berjumlah 86 sen atau 32 peratus dari harga sebenar; dan
Ketiga : Bagi setiap tong 14 kilogram gas memasak, harga asal RM48.02, rakyat hanya bayar RM26.60. Subsidi Kerajaan berjumlah RM21.42 atau 45 peratus dari harga sebenar.
Selain itu, katanya, kerajaan juga akan meneruskan pemberian subsidi bil elektrik berjumlah RM20 sebulan dan ke bawah yang telah dilaksanakan sejak 2009.
"Pemberian subsidi ini melibatkan peruntukan RM150 juta dan seramai 1 juta isi rumah akan mendapat manfaat.
"Untuk makluman, segala subsidi, insentif dan bantuan ini berjumlah RM33.2 bilion. Semuanya dengan semangat ulukan," tambahnya.
Bagi tahun 2012, Najib berkata, kerajaan akan menyediakan RM1.2 bilion untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA yang merangkumi:
- Bantuan kepada warga emas miskin sebanyak RM300 sebulan;
- Bantuan kanak-kanak miskin RM100 sebulan, dengan had maksimum RM450 sebulan, serta;
- Bantuan dan elaun kepada Orang Kurang Upaya (OKU) antara RM150 hingga RM300 sebulan.
"KAR1SMA akan memberi manfaat kepada hampir 500,000 rakyat dalam membantu meringankan beban sara hidup," tambahnya.
Bendung kenaikan kos
Selanjutnya, kata Najib, kerajaan juga akan mengambil langkah bagi membendung kenaikan kos dan harga serta membantu mengurangkan beban rakyat seperti berikut:
Pertama: Menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia ke seluruh negara. KR1M menawarkan 250 jenis produk berjenama 1Malaysia meliputi keperluan harian pengguna pada harga sehingga 40 peratus lebih rendah.
Menurutnya, memandangkan sambutan yang amat menggalakkan, kerajaan juga bercadang membuka 85 unit tambahan sehingga akhir 2012 dengan peruntukan 40 juta ringgit;
Kedua: Membuka 30 unit Agro Bazaar Kedai Rakyat di seluruh negara bagi memasarkan produk pertanian dan barangan berjenama 1Malaysia.
Di samping itu, katanya, kerajaan akan memperluaskan penjualan produk 1Malaysia di semua kedai di bawah Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), kedai FELDA dan kedai serbaneka stesen minyak seluruh negara; dan
Ketiga: Memperluas dan mempromosi Menu Rakyat 1Malaysia yang menawarkan pakej menu makanan popular pada harga yang berpatutan iaitu maksimum RM2 bagi sarapan pagi dan RM4 bagi makan tengah hari.
Sehingga kini, katanya, lebih 700 pengusaha telah mengambil bahagian dan dijangka diperluaskan kepada 3,000 pengusaha pada akhir 2012.
"Untuk mengembangkan lagi langkah ini, kerajaan menggalakkan semua pengusaha kafeteria di pejabat Kerajaan dan swasta melaksanakan inisiatif Menu Rakyat 1Malaysia," tambah perdana menteri.

