Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kita dikembalikan ke zaman S'pura dilanggar todak'
Diterbitkan:  Oct 22, 2011 11:37 AM
Dikemaskini: Oct 23, 2011 2:01 AM

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menyifatkan tindakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) terhadap Prof Dr Abdul Aziz Bari umpama 'mengembalikan kita kepada zaman Singapura dilanggar todak"

NONE "... di mana Hang Nadim yang bercakap benar dan berani telah difitnah, dinafikan kebebasannya serta dihapuskan," kata Husam yang juga exco kerajaan Kelantan dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berharap Prof Dr Abdul Aziz akan terus gigih di atas landasan keberanian demi kebenaran.

"Dalam masa yang sama, saya ucapkan tahniah kepada beliau kerana telah menjadi ikon kebebasan akademik pada era kongkongan ke atas mahasiswa dan pensyarah di negara ini begitu mencengkam," tambahnya.

Menurutnya, kebangkitan mahasiswa bersuara dalam perhimpunan di UIA tengahari semalam, disertai kenyataan beberapa badan akademik universiti, membuktikan dunia akademik tidak boleh menerima budaya sempit yang ditunjukkan oleh kerajaan di negara ini.

"Saudara Mohamad Sabu didakwa oleh polis hanya kerana atas polemik sejarah, pensyarah UIA digantung hanya kerana beliau memberi lontaran pandangan," tambahnya.

uia aziz bari protest 211011 Selain berharap Prof Dr Abdul Aziz  tidak menggadaikan kejujuran dan keberanian akademiknya, "saya cadangkan jika perlu, kerajaan Kelantan boleh menawarkan kedudukan seperti profesor pelawat bagi beberapa IPT di bawah kerajaan negeri seperti KIAS.

Kelmarin UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

Tindakan terhadap pakar itu dipercayai berikutan reaksinya sebelum ini yang mengulas titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama.

NONE Abdul Aziz dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Kenyataannya itu mengundang kontroversi apabila beberapa pemimpin Umno termasuk media yang dikuasai mereka mendakwa tindakan itu cuba memburuk-burukkan institusi raja-raja Melayu sehingga tekanan dibuat bagi beliau digantung tugas.

Sementara itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berkata isu penggantungan tugas Prof Dr Aziz Bari membuktikan kongkongan akademik yang selama ini membelengu sistem pendidikan Malaysia.

"Kini para ilmuan di peringkat Universiti menerima nasib yang sama apabila mereka dihalang daripada mengeluarkan kenyataan hanya kerana dianggap kontroversi dan mencemarkan nama Universiti," kata pengerusinya, Ahmad Syukri Ab Razab.

Oleh itu, katanya, SMM mengira isu kebebasan akademik ini perlu dilihat secara menyeluruh, bukan sekadar membantah hukuman gantung tugas, tetapi sebagai usaha memulangkan hak pengamal ilmu untuk berbicara atas kapasiti ilmiah secara bebas tanpa tekanan dan sekatan.

NONE Sehubungan itu, SMM menyeru mana-mana pihak yang pernah berhadapan dengan situasi ini untuk tampil dan membantu dalam memulihkan kebebasan akademik Malaysia.

"SMM beranggapan sudah tiba masanya ahli akademik bangkit dan bersuara untuk mengangkat kembali martabat ilmu yang selama ini begitu mudah diremehkan oleh campurtangan politik.

"Keberanian Prof Dr Aziz Bari mempertahankan prinsip kebebasan akademik sehingga sanggup berdepan dengan tindakan undang-undang merupakan satu contoh yang perlu diteladani semua pihak," tambahnya.

 

ADS