Papan iklan di Indonesia tanpa kelulusan Kementerian Kewangan
Semakan Jabatan Audit Negara mendapati perolehan pemasangan lima papan pengiklanan berjumlah RM3.64 juta di Medah, Surabaya dan Jakarta, Indonesia untuk tempoh setahun telah dibuat secara rundingan terus tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.
Semakan lanjut jabatan itu mendapati pemasangan papan iklan di Indonesia telah dibina pada 27 Januari 2009 sebelum mengambil kira ulasan dan maklum balas daripada pengawai Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) cawangan Medan melalui emel bertarikh 26 Januari 2009.
Pegawai tersebut juga tidak bersetuju dengan pemasangan billboard di lokasi tersebut disebabkan perkara berikut:
1. bilangan kenderaan yang melalui kawasan adalah terhad terutamanya pada waktu punak.
2. terletak di kawasan perumahan dan di lokasi pinggiran Kota Medan.
3. Bilangan billboard yang terlalu banyak dibina di sekitar lokasi tersebut.
Perkara ini dibangkitkan dalam laporan maklum balas Perbendaharaan terhadap isu utama dalam laporan Ketua Audit Negeri mengenai aktiviti badan berkanun bagi 2010.
Laporan itu menyebut, pihak Audit berpendapat LPPM perlu melaksanakan perolehan papan iklan mengikut peraturan yang ditetapkan bagi memastikan harganya kompetitif.
Selain itu, katanya, LPPM juga perlu memilih lokasi yang sesuai untuk pemasangan papan iklan tersebut.
Dalam penjelasannya, LPPM berkata pengiklanan tersebut perlu dilaksanakan dengan segera memandangkan menteri pada ketika itu akan membuat lawatan rasmi ke Indonesia pada 28 Januari 2009.
Lawatan tersebut, tambahnya, turut bertujuan untuk melancarkan kempen pengiklanan bagi pasaran Indonesia melalui TV, media cetak dan billboard.
Bagi mendapatkan impak yang tinggi hasil daripada lawatan itu, tambah LPPM, papan pengiklan di Indonesia terpaksa dinaikkan pada 27 Januari 2009.
Menurutnya lagi, bahagian pengiklanan mengambil maklum akan maklum balas TM Medan bertarikh 26 Januari 2009 tersebut.
Lanjutan daripada itu, tambahnya, pegawai bahagian pengiklanan telah meninjau sendiri lokasi papan pengiklanan tersebut pada 8 Februari 2009 bagi memastikan ia tidak menjejaskan kempen pengiklanan ini.
Tinjauan tersebut, tambahnya, turut disertai wakil media, pengarah dan timbalan pengarah TM Medan.
Hasil daripada tinjauan tersebut, jelas LPPM, TM Medan bersetuju bahawa lokasi tersebut sebenarnya adalah bersesuaian dan strategik serta visual yang dipaparkan adalah jelas.
Mengenai pemasangan papan pengiklanan di dalam negara, lawatan audit di lokasi pengiklanan sekitar Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Lembah Klang mendapati lokasi pemasangannya kurang strategik, papan pengiklanan roboh dan tidak dipasang lampu.
Pihak audit berpendapat LPPM perlu mengenal pasti lokasi yang strategik bagi pemasangan papan pengiklanan dan memastikan ia dipantau supaya dalam berkeadaan baik.
"Ini bagi memastikan perbelanjaan pengiklanan yang dibuat dapat memberi manfaat untuk menarik pelancong dalam negeri," tambahnya.
Dalam penjelasannya, LPPM berkata pemasangan papan pengiklanan di Jalan Tanjung Tokong, Pulau Pinang adalah untuk menarik pengunjung kompleks membeli belah di pasaraya Island Plaza, Pulau Pinang dan pejalan kaki di sekitar kawasan terseburt dan bukan bermaksud untuk kenderaan di jalanan.
Katanya, kedudukan papan pengiklanan yang roboh di Lebuhraya Utara Selatan telah diambil maklum oleh LPPM dan pembayaran kepada agensi pengiklanan tidak dibuat dan pihak agensi pengiklanan juga bersetuju tidak akan membuat sebarang tuntutan pembayaran.
Manakala tempahan ruang pengiklanan di Mid Valley yang tidak dipasang lampu adalah khusus untuk menarik tumpuan pengguna lebuh raya pada waktu siang sahaja, terutamanya pengunjung yang ingin pusat membelibelah itu.
Oleh itu, tambahnya, LPPM tidak memasng lampu untuk menarik perhatian pengguna jalan raya pada waktu malam.
Mengenai kehilangan lampu papan pengiklanan di Batu 3, Shah Alam, LPPM menjelaskan bahawa ia telah dimaklumkan kepada agensi pengiklanan dan surat amaran telah dikeluarkan.
LPPM, katanya, tidak akan membuat pembayaran papan pengiklanan kepada agensi tersebut bagi tempoh berkenaan.

