Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret Banting hari ini atas dua pertuduhan mengasari ketua biro pelajaran Wanita MCA pusat, Ng Siok Hwa di sebuah tokong di Sungai Jarom, dekat pekan itu Isnin lalu.

    

Hong Lay Seng, 60, didakwa memukul tangan Ng, 48, di Tokong Hua Kwang, No 39 Jalan Intan Taman Yayasan Sungai Jarom pada kira-kira jam 9 malam  24 Oktober lepas.

    

Bagi pertuduhan kedua, Hong didakwa menuang air ke atas Ng dan mengeluarkan kata-kata tidak sopan ke atas wanita itu di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Dia juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu menghalang sepasukan polis diketuai oleh Cif Inspketor Lasappie Lamide daripada menahannya di rumahnya di No. 83, Jalan Melati 6, Taman Melati, Sungai Jarom pada jam 10.45 malam hari yang sama.

    

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh semasa pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret Sepang Rozaidi Yaacob.

Rozaidi menetapkan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin dan 8 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

    

Pendakwaan diakukan Cif Insp Ridhuan Abdullah.

- Bernama