Menteri: Guna Kontraktor untuk lindungi pekerja
Tindakan kerajaan mewujudkan kontraktor tenaga kerja untuk menyediakan tenaga kerja kepada majikan di bawah pindaan Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011, adalah untuk melindungi hak pekerja.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S Subramaniam (
kanan
) berkata cadangan itu bukan untuk "menginstitusikan sistem" berkenaan.
"Sebagai mekanisme kawalan, kementerian melalui Seksyen 2A Akta Kerja 1955 akan mengubal peraturan khusus bagi menyenaraikan jenis-jenis pekerjaan yang tidak dibenarkan melalui penggajian kontraktor tenaga kerja untuk menjamin kebajikan pekerja terpelihara, dan ia tidak dimanipulasikan oleh mana-mana pihak.
"Perkara ini telah pun dibincangkan dengan pihak majikan dan kesatuan sekerja, dan maklum balasnya adalah amat positif," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama media di Kuala Lumpur hari ini.
Dr Subramaniam berkata malahan wakil-wakil majikan mengakui hakikat penambahbaikan adalah perlu bagi mengelakkan salah laku oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Beliau juga menegaskan bahawa pekerja yang digajikan melalui kontraktor tenaga kerja turut boleh menyertai kesatuan sekerja di tempat kerja kerana tiada peruntukan perundangan yang menghalang dan menafikan hak pekerja itu untuk berbuat demikian.
"Dalam pada itu juga, pekerja ini turut tertakluk kepada perjanjian kolektif yang telah dipersetujui oleh majikan dan kesatuan sekerja yang disertainya," katanya.
Misalnya, katanya terdapat perjanjian bersama antara Persatuan Pengeluar-Pengeluar Pertaniah Tanah Melayu (MAPA) dan Kesatuan Pekerja Ladang Kebangsaan (NUPW) yang telah diwujudkan bagi meliputi pekerja-pekerja yang dibekalkan oleh kontraktor tenaga kerja.
Beliau juga berkata rang undang-undang itu juga turut memberi faedah kepada pekerja termasuk peluasan faedah cuti bersalin kepada semua wanita tanpa mengira had upah, menangani aduan gangguan seksual, bayaran upah melalui akaun bank, Hari Malaysia sebagai cuti umum wajib dan memperluaskan liputan akta itu kepada pekerja bergaji RM2,000 berbanding RM1,500 pada masa ini.
Rang undang-undang itu telah diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat pada 6 Oktober lepas.
- Bernama

