Husni: M'sia pasti capai KDNK 5-6 peratus tahun ini
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata Malaysia sudah pastinya akan mencapai pertumbuhan 5-6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini memandangkan kerajaan telahpun bersedia untuk berhadapan dengan sebarang situasi tidak menentu dari pasaran kewangan Barat.
"Kita telahpun membentangkan Belanjawan 2012 dan kini mengambil langkah-langkah agar kelembapan ekonomi di AS dan Eropah tidak menjejaskan kita.
"Kita yakin mencapai pertumbuhan lima hingga enam peratus," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama di Persidangan MIA-AFA 2011 di Kuala Lumpur hari ini.
Husni berkata kerajaan telah memperuntukkan RM6 billon dalam perbelanjaan rangsangan bagi membantu memakmurkan ekonomi negara di sebalik keadaan tidak menentu ekonomi global.
"Kita ada penimbal kita. Pertamanya, di bawah inisiatif belanjawan, kita ada kira-kira RM6 bilion dalam perbelanjaan rangsangan.
"Ini bermakna dengan mengandaikan tiadanya kemelesetan, penimbal telah ada untuk memastikan yang adanya pertumbuhan kukuh dan sekiranya berlaku kemelesetan, ia akan melindungi ekonomi," kata beliau.
Apabila ditanya mengenai kerisauan yang ditimbulkan oleh beberapa pihak yang kerajaan berhadapan dengan "kebimbangan hutang" ekoran perbelanjaan mengatasi pendapatan, Husni berkata hutang negara RM407 bilion, yang meningkat 12.3 peratus tahun lalu, masih lagi boleh diuruskan kerana ia belum lagi mencapai "threshold" yang kritikal seperti pendapatan berbanding nisbah servis hutang.
Husni berkata kerajaan telah meminta Akauntan Negara menyemak kembali dana amanah bernilai lebih RM30 bilion dan melapor kepada kementerian mengenai hasilnya.
"Dana-dana ini ialah untuk pelbagai program tetapi sesetengahnya dorman," kata beliau sambil menambah yang Malaysia telah bersedia dengan rizab yang lebih besar, melebihi RM4 bilion dalam pembiayaan luar jangka dan RM5 bilion dalam Kumpulan Wang Amanah Nasional.
Husni berkata hutang negara masih lagi di bawah paras kritikal 55 peratus daripada KDNK dan pembayaran pinjaman kepada pendapatan negara ialah pada 10 peratus yang di bawah paras berhemat iaitu 15 peratus.
"Mengenai pinjaman luar pula, ia mesti tidak melebihi RM35 bilion. Pada masa ini, ia masih di bawah paras itu dan nisbah pembayaran hutang untuk pinjaman luar ialah dua peratus.
"Jadi, ia adalah dalam kemampuan kita," kata menteri itu.
Husni berkata dalam kes kemelesetan, hanya eksport bersih negara, salah satu daripada empat penyumbang utama kepada KDNK, akan terjejas.
"Apabila kita bercakap mengenai KDNK, ia adalah mengenai empat perkara iaitu penggunaan, eksport bersih, perbelanjaan kerajaan dan pelaburan persendirian.
"Itu sebabnya kita kini menumpu kepada tiga yang lain dan kita percaya kita boleh memampankan pertumbuhan," kata beliau.
- Bernama

