Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jemaah melontar pada hari Tasyrik
Diterbitkan:  Nov 7, 2011 3:31 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

"Alhamdulillah, mudah untuk melontar, tidak berasak-asak," kata Musa Mohamad Salleh, jemaah haji dari Brunei sambil tersenyum dan gembira selepas selesai melontar di tiga jamrah pada hari pertama Tasyrik hari ini.

Beliau berkata, pembinaan kompleks melontar setinggi empat tingkat memudahkan jemaah melontar dengan selesa.

"Beberapa tahun dulu sebelum adanya kompleks bertingkat ini, saya diberitahu ada berlaku kejadian berasak-asak sehingga menyebabkan beratus jemaah yang terkorban," katanya kepada Bernama di Mina.

mecca hajj stampede mina 130106 stonning of jamarat devil stone Hari pertama Tasyrik hari ini dipenuhi dengan ibadah melontar di tiga jamrah di Mina, oleh kira-kira tiga juta umat Islam yang menunaikan haji tahun ini.

Sepanjang tiga hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah bersamaan 7, 8 dan 9 November, jemaah melontar di Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Aqaba.

Jemaah haji melontar tujuh biji batu kecil ke setiap tiang jamrah, adalah simbol syaitan yang dilontar oleh Nabi Allah Ibrahim, yang cuba menyekat baginda daripada meneruskan perintah Allah supaya menyembelih anaknya Ismail sebagai korban.

Jemaah mula melontar Jamrah Aqaba semalam (10 Zulhijjah) pada hari Nahar atau hari raya Korban sebagai satu lagi wajib haji.

Selepas melontar jamrah Aqaba, mereka bertahlul dengan menggunting atau mencukur rambut dan hari ini mereka melontar dengan berpakaian biasa.

Tinjauan Bernama mendapati pelbagai kemudahan yang disediakan pihak berkuasa kerajaan Arab Saudi terutama pembinaan kompleks melontar setinggi empat tingkat, memudahkan jemaah melontar dengan selesa tanpa perlu berasak-asak.

Laluan sehala untuk masuk dan keluar ke kompleks tersebut bagi semua tingkat (aras) memperlihatkan pergerakan jemaah yang lebih teratur.

Kehadiran anggota pasukan keselamatan dalam memberi paduan arah atau laluan yang betul, memudahkan lagi pergerakan jemaah.

"Hurry up, pilgrims" antara bahasa selain bahasa Arab, yang sentiasa didengari dari pembesar suara agar jemaah segera melontar dan beredar bagi membolehkan jemaah lain melontar pula.

hajj pilgrimage haji pilgrimage 040107 masjidil haram Sistem monorel yang beroperasi sepenuhnya tahun ini dari Arafah-Mudzalifah-Mina dilihat dapat mengurangkan kesesakan di jalan raya.

Kelihatan juga ibu bapa yang membawa kanak-kanak bersama mereka dan bagi kanak-kanak lelaki lingkungan usia empat dan lima tahun yang sudah dicukur kepala begitu bersemangat berjalan bersama ibu bapa mereka.

Jemaah yang sudah selesai melontar akan kembali ke khemah masing-masing yang dibina mengikut zon dan negara, untuk menunggu lontaran pada hari berikutnya.

Mereka menggunakan masa yang terluang itu untuk beribadat seperti solat berjemaah, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa memohon kesejahteraan dan keberkatan daripada Allah SWT.

- Bernama

ADS