Pemuda PAS anjur konvensyen p'raya 19 Nov
Konvensyen pilihanraya Pemuda PAS peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 19 November ini dengan bertemakan “Gerak sistematik menangi pilihan raya'.
Menurut jabatan pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia, ia untuk meneruskan agenda pemantapan ke arah memastikan jentera pilihan raya pemuda di semua peringkat berada di dalam keadaan bersiap-siaga untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.
Pengarah jabatan pilihan raya Pemuda PAS, Mohd Sany Hamzan berkata, konvensyen sehari itu akan berlangsung di Dewan Megawati, Rumah Menteri Besar Selangor, Seksyen 7 Shah Alam dan akan dirasmikan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu.
Menurutnya, selepas kejayaan memperkasakan pemantapan rohani pemuda melalui agenda Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Kebangsaan, kini pihaknya mengambil inisiatif mengumpulkan tenaga pilihan raya di peringkat negeri dan kawasan untuk menyuntik semangat motivasi dan memberi kefahaman terhadap “road map” PAS Pusat untuk menuju Putrajaya.
Dianggarkan 500 orang akan menyertai konvensyen tersebut yang terdiri daripada pengarah dan setiausaha jabatan pilihan raya Pemuda PAS negeri, ketua Pemuda, setiausaha Pemuda, pengarah dan setiausaha pilihan raya Pemuda PAS kawasan.

