Kerajaan tidak bercadang untuk meminda undang-undang bagi membolehkan pengundi didaftarkan secara automatik, parlimen diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kerajaan memutuskan demikian memandangkan sebahagian besar rakyat Malaysia didapati tinggal di alamat yang tidak mengikut rekod kad pengenalan mereka.

"Kalau kita laksana (pendaftaran pengundi automatik), ia akan memberi implikasi besar kepada mereka yang terlibat kerana mobiliti penduduk tinggi ekoran berpindah tempat kediaman dan tempat kerja.

"Ini kerana terdapat mereka yang tidak membuat pertukaran alamat di kad pengenalan menyebabkan bilangan mereka yang akan didaftarkan di luar kawasan mereka bermastautin adalah tinggi.

"Malah mungkin ada yang tidak lagi tinggal di alamat yang didaftarkan," katanya lagi ketika menjawab soalan lisan oleh Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan).

Liew menambah, keadaan itu akan menimbulkan masalah kepada pengundi apabila berlaku pilihan raya.

"Mereka nak mengundi di mana sebab tak dinyatakan di tempat bermastautin. Dikhuatiri ramai tidak mengundi jika tempat mengundi jauh daripada tempat bermastautin dan akan akan kurangkan peratus keluar mengundi dan dan jejaskan proses demokrasi," katanya lagi.

Katanya lagi, seramai 842,726 orang pengundi baru telah didaftarkan pada 2007, 155,420 pada 2008, 279,270 pada 2009 dan 819,489 lagi pada 2010.