Permohonan Utusan batal saman Mat Sabu - 6 Dis
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan pada 6 Disember ini, permohonan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad bagi membatalkan saman fitnah yang difailkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung penyiaran artikel berhubung isu komunis Bukit Kepong.
Hakim Datuk John Louis O'Hara menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak hari ini.
Pada 27 Oktober, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Ishak dan Utusan Melayu memfailkan permohonan itu atas alasan saman tersebut mengaibkan, remeh dan menyusahkan serta ia suatu penyalahgunaan proses mahkamah.
Pada 14 September lepas, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, 57, memfailkan saman itu dan mendakwa defendan dengan niat jahat telah menerbitkan satu artikel fitnah pada 27 Ogos lalu dan dua lagi artikel pada keesokan harinya, iaitu pada 28 Ogos.
Beliau mendakwa penyiaran artikel itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa dirinya menyokong komunis, telah terkeluar daripada ajaran dan akidah Islam kerana menyokong komunis dan mengiktiraf Muhammad Indera sebagai pengganas komunis yang bekerjasama dengan Goh Peng Tun serta 200 lagi angggota komunis.
Mat Sabu mendakwa dirinya berasa malu dan maruah, kredibiliti serta reputasinya juga terjejas.
Beliau menuntut gantirugi am, gantirugi teladan, gantirugi teruk serta perintah mahkamah agar defendan memohon maaf dan menarik balik artikel fitnah itu.
Dalam prosiding hari ini, peguam Datuk Firoz Hussein Jamaluddin yang mewakili defendan berhujah Mat Sabu gagal menyokong writ saman dengan butiran lengkap serta mencukupi berhubung penyiaran artikel berkenaan.
Beliau berkata kegagalan berbuat demikian menyebabkan writ saman itu perlu dibatalkan oleh mahkamah.
Sementara itu, peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Mat Sabu berkata defendan gagal menunjukkan bagaimana mereka diprejudis akibat ketiadaan butiran bagi menyokong writ saman berkenaan.
- Bernama

