DAP Melaka membangkitkan pemotongan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM10 setiap bulan bagi penerima bantuan untuk dilaburkan ke dalam Koperasi Bela Masyarakat (Kobemas) sebagai tidak wajar serta menyusahkan rakyat.

Menurut Adun DAP dari Bachang, Lim Jak Wong, sekiranya benar-benar mahu membantu rakyat, kerajaan negeri tidak sepatutnya membuat pemotongan itu sebaliknya pihak terbabitlah yang seharusnya menambah jumlah berkenaan menerusi peruntukan negeri.

Katanya, biarpun jumlah RM10 dianggap kecil namun bagi penerima bantuan yang serba kekurangan jumlah tersebut ternyata begitu bernilai.

"Kami mahu kerajaan kaji semula tindakan itu dan sepatutnya sebagai sebuah negeri yang maju kerajaan negerilah yang seharusnya menambah lagi RM10 setiap penerima bantuan bagi tujuan itu.

"Dengan menyumbang RM10, kami tidak nampak bilakah para penerima bantuan ini akan merasai nikmat keuntungan yang telah mereka sumbang atau laburkan.

"Apatah lagi sekiranya penerima terbabit sudah meninggal dunia, sudah pasti mereka tidak akan merasai faedah itu," katanya.

'RM10 boleh beli hotel?'

Bagaimanapun, ketika menjelaskan persoalan itu, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Wanita, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Norpipah Abdol berkata, konsep yang dilaksanakan kerajaan negeri Melaka itu lebih kepada "Menyemai Bakti".

"Kalau dulu-dulu, datuk nenek kita tanam pokok durian, mereka tidak dapat merasai hasilnya tetapi yang perolehi nikmat adalah anak cucu kini.

"Begitu juga dengan perlaksanaan pemotongan RM10 ini, di mana kita melihat dari sudut lebih jauh untuk membantu keluarga penerima bantuan masa akan datang," katanya.

Menurut, Norpipah sejak perlaksanaan itu tahun lalu, tanggungjawab yang dilakukan Kobemas dan JKM itu telah berjaya mengumpul aset berjumlah RM25.3 juta daripada pelbagai projek termasuk pembinaan hotel dan pembelian rumah kedai serta aset lain.

"Saya nak tanya adakah dengan RM10 kita boleh bina sebuah hotel, tetapi kami mampu mengadakannya apabila kita sedang dalam proses pembinaan sebuah hotel di kawasan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh milik penerima bantuan di negeri ini.

"Terbinanya hotel itu nanti akan memberi peluang kepada anak-anak penerima bantuan sebab kita akan mengutamakan mereka untuk bekerja di hotel itu nanti," katanya.

Beliau berkata, setakat ini jumlah kutipan yang dihasilkan sehingga 31 Oktober daripada seramai 25,868 penerima bantuan adalah sebanyak RM2.16 juta membabitkan tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

"Sebelum memutus untuk berbuat demikian kerajaan negeri sudahpun meminta pandangan dan persetujuan dari pelbagai pihak termasuk pihak kementerian dan jabatan yang terlibat.

"Untuk makluman, perlaksanaan ini tidak pernah dibuat di negeri lain kecuali Melaka," katanya.