Jumlah mahasiswi yang semakin mendominasi institut-institut pengajian tinggi, masih belum mampu memberikan impak yang besar dalam perkembangan sosial negara, ketua Exco Hal Ehwal Wanita Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM), Siti Najwa Haron.

"Bahkan semakin banyak keterlibatan mahasiswi dengan budaya sosial dikesan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, gejala pembuangan bayi, seks bebas, pelacuran, penderaan wanita dan sebagainya masih tidak berhenti dari disiarkan di akhbar.

"Apa yang lebih menyedihkan apabila terdapat segelintar manusia yang menyokong gejala tidak sihat umpama penganjuran Seksualiti Merdeka yang sebenarnya sudah pun dimulakan sejak 2008 lagi dan hanya mendapat liputan meluas baru-baru ini.

"Ironinya, keberadaan majoriti mahasiswi juga tidak menjamin keterlibatan memberangsangkan mahasiswi dalam mendepani isu, masalah, realiti mahupun penonjolan gagasan idea mahasiswi dalam membantu menyeimbangkan fenomena politik negara," tambahnya.

Justeru, tegas Siti Najwa, berdasarkan kepincangan itu, MPPUM di bawah kendalian Exco Hal Ehwal Wanita dengan kerjasama NAM, Institute For The Empowerment Of Women Malaysia (NIEW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, akan mengadakan Festival Mahasiswi Nasional II (FEMINA) mulai 2 Disember hingga 4 Disember ini.

Secara jelasnya, beliau yang juga pengarah FEMINA berkata, penganjuran FEMINA buat kali yang kedua ini adalah satu langkah mengetengahkan ideologi dan peranan mahasiswi dalam mendepani massa.

"Kekurangan keterlibatan mahasiswi dalam arena pentas nasional menjadi satu kerugian yang perlu ditampung oleh semangat-semangat baru mahasiswi," tambahnya.

FEMINA, tegas Siti Najwa, cuba untuk mencapai satu kata sepakat bagaimana mahasiswi itu perlu berperanan dalam masyarakat.

"... bagaimana mahasiswi itu perlu mencabar diri untuk berani ke depan menangkis gejala sosial yang memualkan, juga menyedarkan mahasiswi bahawa kuasa yang ada pada mereka mampu menghidupkan gelombang luar biasa kepada fenomena dunia berlandasakan kepada akhlak dan peribadi 'The Real Women'," tambahnya.