Saham syarikat utiliti, Tenaga Nasional Bhd (TNB), meningkat 1.23 peratus atau tujuh sen kepada RM5.75 di Bursa Malaysia pada jam 10 pagi ini berikutan kelulusan bagi mekanisme perkongsian kos bahan api.
TNB, pemacu penting menolak KLCI FBM utama ke paras 1,485.81 semalam, menyatakan syarikat sudah menerima kelulusan kerajaan untuk satu mekanisme perkongsian kos bahan api bagi menangani kos tinggi yang ditanggung syarikat akibat pengurangan gas.
Mengikut mekanisme itu, TNB, Petronas dan kerajaan akan sama-sama berkongsi perbezaan kos yang ditanggung oleh TNB mulai 1 Januari 2010 hingga 31 Oktober 2011 berjumlah RM3.07 bilion.
HwangDBS Vickers Research menjangka TNB akan menetapkan semula kadar selepas pasaran tidak mengunjur sebarang kenaikan dari pampasan yang disebabkan oleh kekurangan gas.
"Bukan sahaja TNB akan menerima RM2.05 bilion durian runtuh dalam beberapa tahun kewangan yang disebabkan oleh pampasan kekurangan gas, kelulusan juga sudah terbukti bahawa TNB akan menerima bantuan daripada kenaikan harga bahan api.
"Kami percaya kenaikan tarif akan datang tidak mungkin berlaku sehingga selepas pilihan raya umum yang akan datang, tetapi pampasan telah menunjukkan dengan jelas, keupayaan TNB untuk menyalurkan kenaikan kos bahan api, sama ada melalui kenaikan tarif atau subsidi," menurutnya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
HwangDBS mengekalkan saranan beli terhadap TNB dengan harga sasaran RM7.00 bagi pemulihan pendapatan yang kukuh pada tahun kewangan 2012.
Ia menjangka pendapatan TNB akan kembali kukuh pada tahun kewangan 2012 berikutan pampasan dan peningkatan dalam bekalan gas kepada 1,150 juta metrik kaki padu standard sehari (mmscfd) menjelang akhir tahun ini daripada 900 mmscfd pada Oktober berikutan siapnya laluan sampingan Bekok.
Ia menyatakan isu kekurangan gas juga akan diselesaikan apabila siapnya loji pengegeasan semula Petronas Gas Bhd pada Julai tahun depan.
"Bagaimanapun, angka tahun kewangan 2012-2014 kami tidak mengambil kira apa-apa pampasan berikutan kekurangan maklumat dalam masa dan pelaksanaan pampasan kekurangan gas itu.
"TNB akan berhubung dengan pihak-pihak yang berkenaan untuk melaksanakan mekanisme ini tidak lama lagi," katanya.
- Bernama
