BERITA Malaysiakini

Kekeruhan Sg S'gor: K'jaan negeri lantik pakar asing

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Kerajaan Negeri Selangor telah melantik perunding antarabangsa bagi menyiasat punca kekeruhan luar biasa di Sungai Selangor sejak pagi semalam.

Dalam satu kenyataan akhbar, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata, beliau telah mengarahkan pengawal selia air negeri serta juruaudit operasi dari perunding antarabangsa Halcrow untuk memeriksa empat loji rawatan.

NONE Loji yang terlibat adalah Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Loji Rawatan Air Sungai Selangor  Fasa 2 (SSP2), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3), dan Loji Rawatan Air Rantau Panjang.

“Satu laporan juga akan disediakan untuk dibentangkan pada mesyuarat majlis kerajaan negeri, Rabu ini.

“Lembaga Urusan Air Selangor dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor juga akan dipanggil untuk memberi penjelasan penuh tentang kejadian ini serta mencari jalan penyelesaian supaya perkara ini tidak berulang,” kata Abdul Khalid.

Pada masa yang sama, katanya Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) perlu membuat persediaan yang secukupnya sekiranya berlakunya gangguan bekalan air dan menasihatkan pengguna supaya berjimat cermat menggunakan air.

“Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuai sehingga menyebabkan pencemaran ini berlaku,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan kira-kira tiga juta penduduk di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dijangka mengalami gangguan bekalan air jika kejadian kekeruhan air dari Sungai Selangor ke empat loji utama di Ijok Kuala Selangor berterusan.

syabas logo Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas Abdul Halem Mat Som dipetik berkata kekeruhan luar biasa di Sungai Selangor kini menjejaskan pengeluaran air di empat loji berkenaan, yang membekalkan 60 peratus bekalan kepada penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kesemua loji berkenaan mengalami kekurangan pengeluaran air disebabkan  kandungan kekeruhan luar biasa yang dikesan di muka sauk kesemua loji berkenaan mulai pagi semalam.

"Jumlah pengeluaran air terawat di keempat-empat loji itu telah dikurangkan dari 2,460 juta liter sehari ke 1,000 juta liter sehari setelah mencatat kekeruhan luar biasa pada kadar lebih 6,000 NTU (Nephelometric Turbidity Unit) pagi tsemalam berbanding 300 NTU pada keadaan biasa," katanya.