Kadar Kekeruhan air dari Sungai Selangor ke empat loji utama di sekitar Bestari Jaya, Ijok, Kuala Selangor turun secara mendadak kepada 300 NTU (Nephelometric Turbidity Unit) hari ini berbanding 6,000 NTU semalam, kata Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Datuk Ruslan Hassan.
Beliau berkata sehubungan itu operasi empat loji itu yang terjejas semalam akibat kekeruhan luar biasa itu, kembali pulih seperti biasa dengan tahap pengeluaran maksimum iaitu 2,680 juta liter sehari, bermula pukul 1 pagi tadi.
Semalam kekeruhan luar biasa itu mengakibatkan tahap pengeluaran Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) dan Loji Rawatan Air Rantau Panjang turun kepada kira-kira 1,000 juta liter sehari.
Ruslan bagaimanapun menjangka pengguna di kawasan tanah tinggi akan terus mengalami masalah gangguan bekalan air buat sementara waktu.
"Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya secara berperingkat mulai hari ini sehingga esok," katanya dalam satu kenyataan.
