Penagih maut dihempap lif ketika cuba curi kabel
Diterbitkan: Dec 9, 2011 6:47 PM | Dikemas kini: Dec 9, 2011 6:49 PM
Seorang penagih dadah mati dihempap lif ketika cuba mencuri kabel di sebuah bangunan lama di Jalan Dang Wangi di ibunegara hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata lelaki tempatan berumur 28 tahun itu ditemui orang awam kira-kira jam 4 petang.
"Lelaki itu maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama.
Zulkarnain berkata mangsa cedera parah di bahagian badan dan kepala akibat dihempap besi lif yang terjatuh ke atasnya.
Bangunan lama tersebut dikatakan menempatkan sebuah kolej swasta sebelum ini.
"Mayat lelaki itu kemudiannya dibawa polis ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat," katanya.
- Bernama

