DAP: Bil CPB2011 sekat kebebasan bersuara
DAP hari ini memberi amaran bahawa rang undang-undang Lembaga Juru Komputer Profesional 2011 (CPB2011) yang dicadangkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi boleh disalahguna untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat.
CPB adalah usaha kementerian untuk mengawal selia semua ‘perkhidmatan pengkomputeran’ yang dibekalkan oleh entiti atau individu yang berkaitan dengan klasifikasi 'Infrastruktur Maklumat Negara Kritikal' atau CNNI, kata setiausaha publisiti DAP Tony Pua.
Dalam kenyataan medianya, hari ini, Pua berkata rang undang-undang itu bertentangan dengan jaminan kebebasan Multimedia Super Corridor (MSC) yang telah menjanjikan peluang pekerjaan tanpa sekatan kepada sesiapa sahaja yang berkebolehan dan juga tiada sekatan internet.
Menurutnya, Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bahawa tiada satu peruntukan pun yang membenarkan sebarang penapisan maklumat berlaku.
“Sejak berdekad-dekad teknologi informasi dan industri perkomputeran telah beroperasi tanpa sebarang kontroversi, isu-isu atau pun rintangan.
“Adalah jelas bahawa CPB2011 yang digubal secara ‘cincai’ mempunyai sifat-sifat ‘big borther’ (gelaran dipopularkan oleh George Orwell dalam novelnya, ’1984′) untuk mengawasi pergerakan setiap rakyat,” katanya.
Menurut Pua lagi, CPB2011 juga akan mentakrifkan 'perkhidmatan pengkomputeran' sebagai mana-mana perkhidmatan yang disediakan untuk 'pelan, arkitek, reka bentuk, membuat, membangun, melaksana, menggunakan dan mengurus teknologi sistem maklumat'.
"Berdasarkan kepada definisi ini, skop perkhidmatan itu akan meliputi apa-apa dari membina laman web kepada pembinaan pelayan (server) komputer hingga reka bentuk dan pembangunan mana-mana produk komputer - sama ada perisian atau perkakasan.
Paksaan mendaftar
"Malah, penubuhan blog dan portal berita, atau pun menggunakan akaun Facebook dan Twitter juga boleh diklasifikasikan sebagai dilindungi mengikut 'perkhidmatan pengkomputeran'," kata ahli parlimen Petaling Jaya Utara itu.
Sebaliknya, CNNI kata Pua, akan ditakrifkan sebagai 'aset-aset, sistem dan fungsi yang amat penting kepada negara sehingga ketidakupayaan atau kemusnahan mereka akan mempunyai kesan amat buruk kepada ekonomi dan imej negara, termasuk kepada pertahanan dan keamanan negara atau keupayaan kerajaan untuk berfungsi atau menjejaskan kesihatan dan keselamatan awam '.
Menurut beliau lagi, CPB2011 akan membantutkan hak dan pengetahuan pakar perkomputeran dengan memaksa mereka mendaftar diri dengan CNII.
Pua yang juga ahli parlimen Petaling jaya Utara mengulas draf CPB2011 yang disediakan oleh Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi.
Kementerian itu dalam satu kenyataan 9 Disember lalu menyatakan CPB2011 tidak bermatlamat untuk menyekat atau mengawal atur perkhidmatan perkomputeran dan ia cuma terhad kepada CNII.
Bagaimana pun, Pua berkata, CPB2011 bakal memberi kerosakan buruk yang berleluasa kerana wujudnya elemen memaksa melalui pendaftaran.
Mempunyai ijazah
DAP menentang CPB2011 atas prinsip bahawa kejuruteraan perisian secara asas memerlukan kebebasan, kepintaran dan kreativiti yang tidak semestinya boleh diperolehi daripada mereka yang mempunyai ijazah.
Sewaktu merasmikan Konvensyen DAP Pulau Pinang semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempersoalkan cadangan kerajaan yang cuba mengawal kebebasan kreativiti pakar teknologi maklumat.
“Adakah para pakar dan ikon dalam industri IT seperti Steve Jobs (Apple), Bill Gates (Microsoft) dan Mark Zuckerberg (Facebook) boleh berjaya jika terwujud undang-undang yang sebegini?
“Tindakan yang langsung tidak masuk akal dan bersifat mundur ini lantas menimbulkan soalan adakah kerajaan BN ingin mengawal maklumat dan penggunaan internet?” soal beliau.

