MRT Corp tandatangan perkara perjanjian dengan pemilik tanah Jalan Inai
MRT Corp telah mencapai persetujuan besar apabila menandatangani Perkara Perjanjian (PoA) dengan 21 pemilik tanah di kawasan Jalan Inai yang terlibat dengan projek MY Rapid Transit.
POA itu bertujuan menangani isu seperti menarik balik pengambilalihan tanah, akses ke tanah bagi dibina terowong, gantirugi dan semakan semula perundangan dengan sesetengah pemilik tanah yang telah membuat dakwaan terhadap kerajaan.
Perjanjian itu akan menjadi asas bagi dijalin perjanjian bersama yang dijangka ditandatangani antara MRT Corp dan pemilik tanah itu pada akhir Januari, kata MRT Corp dalam satu kenyataan hari ini.
Perjanjian itu dijangka menyelesaikan kesemua isu yang terdapat antara pemilik tanah itu dengan projek MY Rapid Transit.
POA itu telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Azhar Abdul Hamid dan Jason Ng Kau, Yong Cho Joong, Dr Arthur Rajaratnam dan Tuan Zuhayati, bagi pihak pemilik 21bidang tanah berkenaan.
Semasa mengumumkan kejayaan itu, Azhar berkata usaha itu adalah untuk memenuhi keperluan para pemilik tanah itu yang menerima kesan projek MRT sambil pada masa yang sama projek MRT dilaksanakan mengikut jadual, yang merupakan keutamaannya.
Penandatanganan POA hari ini menunjukkan komitmen MRT Corp menyediakan penyelesaian berkesan terhadap isu-isu yang boleh menghalang pelaksanaan projek MRT itu, katanya.
Acara penting itu menandakan langkah positif ke arah menyelesaikan isu-isu tanah yang serupa di Jalan Sultan, Jalan Bukit Bintang dan di kawasan yang terlibat yang lain.
MRT Corp kini sedang berusaha dengan kumpulan yang berkaitan bagi mendapatkan penyelesaian yang baik bagi memastikan kejayaan pelaksanaan pembangunan projek infrastuktur awam terbesar negara itu, katanya.
- Bernama

