Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pergerakan 'naga' dijangka perlahan selepas terjaga dari tidur
Diterbitkan:  Dec 31, 2011 12:29 PM
Dikemaskini: 4:31 AM

Meskipun berdepan kemelut di Eropah dan persekitaran pelaburan yang kurang menarik, Bursa Malaysia dijangka memulakan 2012 dengan kukuh minggu depan setelah menyambut kedatangan tahun naga, kata para peniaga.

    

Pasaran diunjur memberangsangkan memandangkan terdapat banyak mudah tunai dalam sistem dan sistem kewangan kekal teguh dibantu oleh angka dagangan yang positif.

    

"Bagaimanapun, jangan mengharapkan naga akan bangkit dengan segera dan terus melonjak," kata peniaga berkenaan yang menjangka pergerakan "naga" akan perlahan setelah terjaga dari tidur dan menaikkan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ke paras tinggi baru menjelang pertengahan 2012.

    

Ketua Penyelidik Jupiter Securities Pong Teng Siew berpendapat indeks utama mungkin mencecah 1,600 mata, menokok 100 mata atau antara enam peratus dan tujuh peratus, pada separuh pertama tahun depan.

    

Indeks Utama berada pada paras tertinggi 1,594.74 pada 8 Julai.

Pong berkata banyak aliran positif dijangka muncul tahun depan dengan pilihan raya umum ke-13 dan pelancaran Program Transformasi Ekonomi (ETP).

    

"Perbelanjaan kerajaan terhadap ETP juga tepat pada masanya yang akan menjadi penampan kepada sebarang kejutan luar di samping faktor yang baik dalam pilihan raya umum boleh menyediakan rangsangan yang amat diperlukan kepada pasaran," kata Pong kepada Bernama hari ini.

    

Beliau berkata saham defensif boleh menjadi menarik tahun depan dan akan merupakan masa yang baik untuk beralih ke saham-saham berkenaan terutamanya dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu.

    

"Antara saham yang boleh menarik minat ialah minyak dan gas, pengguna dan perladangan. Saham perladangan dijangka menyaksikan belian positif dalam masa satu hingga dua bulan akan datang.

"Para pelabur boleh mengambil kesempatan terhadap pendapatan kukuh yang dinikmati oleh syarikat-syarikat perladangan ini setelah pengeluaran minyak sawit perlahan dengan kebimbangan cuaca yang tentunya akan menolak naik harga ," kata Pong.

    

Bursa Malaysia mengakhiri 2011 yang tidak menentu pada kedudukan kukuh setelah kegiatan memperelok akaun menjadi pemangkin lonjakan saat akhir, dengan indeks utama pada paras terbaik dalam masa sembilan bulan.

FBM KLCI mengakhiri minggu dengan naik 34.58 mata kepada 1,530.73.

    

Indeks Kewangan menambah 338.18 mata kepada 13,702.75, Indeks Perladangan menokok 195.31 mata kepada 8,162.70 manakala Indeks Perusahaan meningkat 64.56 mata kepada 2,743.05.

    

Indeks FTSE Bursa Malaysia Emas melonjak 235.55 mata kepada 10,489.07, Indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70 menambah 275.44 mata kepada 11,575.91 dan Indeks FTSE Bursa Malaysia Ace naik 29.77 mata kepada 4,068.58.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 5.18 bilion saham, bernilai RM4.34 bilion, daripada 7.05 bilion saham, bernilai RM4.996 bilion, yang diniagakan minggu lepas.

    

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 2.89 bilion unit, bernilai RM3.93  bilion, daripada minggu lepas pada 3.88 bilion unit bernilai RM3.8 bilion.

    

Waran susut kepada 1.11 bilion saham, bernilai RM246.08 juta, daripada 1.41 bilion unit bernilai RM805.04 juta, yang didagangkan sebelumnya.

    

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 1.16 bilion unit, bernilai RM136.56 juta, daripada 1.68 bilion unit bernilai RM187.26 juta yang dicatatkan minggu lepas.

- Bernama

    


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS