Tenaga Nasional Bhd (TNB) perlu melaksanakan projek talian atas Mahkota Cheras bagi menjamin daya harap bekalan elektrik bagi penduduk di sekitar Cheras, Balakong dan Lembah Klang.

Naib Presiden (Penghantaran) TNB Datuk Rozimi Remeli ( bawah ) berkata projek itu juga penting bagi menyalurkan bekalan elektrik kepada Loji Rawatan Air Langat 2 yang akan membekalkan air ke Selangor dan Wilayah Persekutuan.

tenaga nasional press conference on rawang issue 02121 rozimi remeli Beliau berkata TNB mahu memberikan gambaran sebenar mengenai projek itu kerana penduduk Taman Bukit Segar Jaya dan sekitarnya telah diberi persepsi salah mengenainya.

"TNB telah mengadakan dialog bersama penduduk berkenaan sebanyak 15 kali berhubung isu kesihatan dan keselamatan termasuk melantik Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM)  melakukan kajian dan analisis kestabilan cerun di Bukit SungaiPuteh Tambahan," katanya dalam kenyataan semalam bagi menjawab dakwaan persatuan penduduk Taman Bukit Segar Jaya dan sekitarnya mengenai projek itu.

Beliau berkata pada 9 Disember lepas, IKRAM telah membentangkan hasil kajiannya pada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang menunjukkan tiada aspek percanggahan berlaku di dalam projek ini mengikut Garis Panduan Perancangan Pembangunan di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi di Selangor.

MTES juga memutuskan supaya jajaran asal di tapak projek akan dikekalkan setelah mengambil kira pandangan dan ulasan teknikal daripada IKRAM kerana isu berkenaan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Selangor.

Rozimi berkata dalam melaksanakan projek itu, TNB sentiasa mematuhi had pendedahan Electro Magnetic Field (EMF) yang ditetapkan oleh Badan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu tidak melebihi 1,000 miliGauss (100 mikro Tesla).

- Bernama