Orang Asli buat sekatan halang tanah dirampas
Kira-kira 300 Orang Asli daripada masyarakat Temiar memasang dua sekatan hari ini - yang pertama seumpamanya di Semenanjung - untuk menghentikan aktiviti pembalakan di atas tanah mereka di kawasan Gua Musang, Kelantan.
Sekatan tersebut yang dibuat dengan kayu dan buluh, telah dipasang di jalan-jalan utama ke Kampung Parit dan Kampung Lambok pada jam 7 pagi tadi.
Pembalak, penceroboh dan kakitangan yang berkaitan dengan projek pembangunan Ladang Rakyat, dihalang memasuki kampung Orang Asli di kawasan tersebut.
Menurut wakil Rangkaian Orang Asli Kelantan, Azmi Badul, 31 kampung Orang Asli telah mengambil bahagian dalam memasang sekatan-sekatan tersebut.
"Sekatan-sekatan itu akan diteruskan sehinggalah kerajaan negeri membuat keputusan yang memuaskan terhadap tuntutan kami," kata Azmi ketika dihubungi hari ini.
Sekatan-sekatan tersebut hanya menarik beberapa anggota polis yang datang untuk memantau keadaan, tetapi tidak mengganggu.
Projek Ladang Rakyat, yang dimulakan oleh kerajaan PAS Kelantan, menimbulkan kemarahan Orang Asli dari kawasan Gua Musang, yang mendakwa tanah nenek moyang mereka dirampas oleh kerajaan negeri dan diserahkan kepada syarikat pembalakan.
[Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan kira-kira 200 penduduk Orang Asli yang berang dengan pencerobohan tanah adat serta jalan rosak, bertindak menghalang laluan utama daripada dilalui kenderaan berat di dua lokasi berasingan.
Sebahagian mereka mengadakan bantahan di jalan Kuala Betis ke Pos Balar iaitu di Kampung Lambok, manakala yang lain di jalan Kuala Betis Pos Tohoi di Kampung Parit sejak awal pagi ini.
Tindakan itu diambil kerana mereka marah dengan sikap pembalak yang menggunakan jalan tersebut hingga menyebabkan kerosakan teruk tanpa mengambil langkah memperbaikinya walaupun ia merupakan laluan penduduk untuk keluar ke bandar ini.
Bantahan itu menyebabkan berpuluh lori balak yang ingin menggunakan jalan tersebut seawal 5 pagi, terpaksa berpatah balik kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.
Wakil penduduk, Azmi Badul, 47, berkata tindakan itu juga susulan daripada beberapa bantahan sebelum ini bagi menuntut kerajaan negeri mewartakan tanah adat Orang Asli.
Beliau berkata kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan perkara itu memaksa penduduk membantah kehadiran lori balak di jalan berkenaan.
"Aktiviti pembalakan itulah yang menyebabkan tanah penduduk habis diceroboh dan selepas itu, dimajukan sebagai ladang dan jalan kampung rosak tanpa menghiraukan desakan kami selama ini.
"Apakah kami ini bukan rakyat Malaysia apabila dizalimi begitu sekali tanpa ada pertimbangan untuk mewartakan tanah adat peninggalan nenek moyang kami sejak dahulu lagi," katanya.
Azmi berkata pihaknya dua kali berjumpa Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi membincangkan masalah itu namun tidak dilayan.
Seorang penduduk, Manggis Alang, 27, berkata penduduk tidak tahan lagi dengan karenah kerajaan negeri yang terus mengambil tanah adat untuk dimajukan sebagai ladang kelapa sawit.
Beliau berkata perkara itu tidak lagi dipandang ringan, dan penduduk akan terus bertindak menutup jalan di kampung mereka agar kegiatan pembalakan dihentikan segera dan rayuan mereka didengar.
"Encik tengoklah sendiri kawasan hutan berhampiran kampung kami ini habis ditebas untuk dibuka ladang, selepas mengambil balak lalu pula di depan rumah kami hingga keadaan jalan rosak teruk," katanya

