Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banjir, pusat bandar Kuching sesak teruk
Diterbitkan:  Jan 5, 2012 12:27 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Beberapa jalan utama sekitar bandar raya Kuching pagi ini dilanda banjir  kilat berikutan hujan lebat sejak awal pagi ini sekaligus menyebabkan kesesakan teruk di laluan keluar masuk menuju pusat bandar.

    

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri ketika dihubungi Bernama berkata jalan yang terjejas ialah Jalan Green, Jalan Batu Kawa, Jalan Badarudin, Jalan Matang, Jalan Tabuan dan Jalan Sultan Tengah.

    

"Kita juga telah menerima beberapa laporan banjir di kawasan kediaman Desa Wira dan Stapok awal pagi ini dan difahamkan beberapa penduduk telah dipindahkan dari kediaman masing-masing untuk sementara  waktu," katanya.

    

Katanya setakat ini belum ada laporan diterima berhubung sekolah yang ditutup dan pihaknya akan terus memantau keadaan semasa.

    

Menurutnya banjir yang melanda bandar raya Kuching pagi ini dijangka hanya berlaku sementara kerana ketika ini paras air Sungai Sarawak masih lagi pada paras rendah.

Sementara itu, dua orang dikhuatiri lemas semasa kejadian banjir kilat berlaku di bandar raya ini awal pagi tadi.

    

Mereka dikenali sebagai Kho Ying Qi, pelajar Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Kerajaan Batu Lintang dan Herman Silas, 28, pekerja stesen minyak yang berasal dari Lundu.

    

Kedua-duanya dipercayai dibawa arus deras di dalam sebuah parit di Jalan Rock.

    

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mun Kock Keong berkata gerakan mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan di sepanjang parit tersebut oleh pasukan polis, Jabatan Pertahanan Awam serta Jabatan Bomba dan Penyalamat.

    

"Menurut saksi, Herman cuba menyelamat Ying Qi yang terjatuh ke dalam parit, tetapi dia turut sama dibawa arus," katanya kepada Bernama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS