Tiada arahan tarik balik Interlok di 80 sekolah
Lebih 80 sekolah menengah masih belum menerima arahan untuk menarik balik novel Interlok yang diedarkan kepada pelajar Tingkatan 5 tahun lalu, walaupun keputusan berkenaan dibuat jemaah menteri bulan lalu.
Pengerusi Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT) Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim, berkata kaji selidik telefon yang dijalankan ke atas lebih 100 buah sekolah oleh kumpulannya mendapati bahawa 80 daripada mereka masih belum menerima apa-apa arahan bertulis daripada pejabat pendidikan daerah untuk menarik balik buku itu.
Sekolah-sekolah yang dikaji itu adalah dari Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan.
Pada sidang akhbar dengan Ngeow Chow Ying, naib pengerusi jawatankuasa hak sivil Kuala Lumpur dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Thasleem mendakwa beliau telah menerima lebih daripada 600 aduan daripada ibu bapa mengenai perkara itu.
Katanya, ibu bapa mendakwa pelbagai alasan diberikan oleh sekolah-sekolah, antara lain:
- Tidak ada surat rasmi daripada pejabat pendidikan daerah;
- Pelajar diminta untuk menyimpan Interlok sehingga novel baru yang berjudul Konserto Terakhir yang diterima daripada kementerian pelajaran;
- Pelajar diminta untuk menyimpan novel dan membacanya apabila ada masa lapang;
- Pelajar tidak perlu bimbang kerana ada tidak akan ada soalan berdasarkan buku itu dalam peperiksaan SPM kertas Bahasa Malaysia.
Bagaimanapun, Thasleem berkata, masih terdapat beberapa sekolah yang masih menunggu untuk menerima novel Konserto Terakhir daripada kementerian.

