Pemuda Umno dakwa Keadilan Negeri Sembilan sudah tutup buku'
Pemuda Umno Negeri Sembilan menyifatkan parti Keadilan di negeri itu kini sudah 'tutup buku' berikutan tindakan Pengerusi Perhubungannya, Ruslan Kassim dan pemangku Ketua Pemuda Keadilan negeri, Rusli Mohd Shariff menyertai semula Umno semalam.
Pemuda Umno Negeri Sembilan menyifatkan parti Keadilan di negeri itu kini sudah 'tutup buku' berikutan tindakan Pengerusi Perhubungannya, Ruslan Kassim dan pemangku Ketua Pemuda Keadilan negeri, Rusli Mohd Shariff menyertai semula Umno semalam.
"Ruslan (
gambar
) dan Rusli dianggap sebagai tokoh parti Keadilan yang memperjuangkan keadilan di Negeri Sembilan...apabila mereka sudah meninggalkan parti itu untuk menyertai semula Umno, sudah pastinya parti Keadilan di negeri ini sudah habis," kata naib ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias hari ini.
Seorang lagi pemimpin Keadilan Negeri Sembilan yang kembali semula ke pangkuan Umno ialah exco pemuda parti itu, Shamsul Bahari Shamsuddin yang juga ketua Pemuda Keadilan Kuala Pilah.
Jalaluddin yang juga ketua Pemuda Umno bahagian Jelebu menegaskan demikian sebagai mengulas dakwaan setiausaha Keadilan negeri itu, Nordin Ismail bahawa tindak Ruslan dan Rusli menyertai semula Umno semalam, tidak sedikit pun menjejaskan semangat pemimpin dan ahli parti itu.
Malah, kata Nordin, tindakan mereka serta rakan-rakan pemimpin Keadilan dari negeri lain menyertai semula Umno boleh menjadi "pisau dua mata" yang boleh menikam Umno sendiri.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Seremban hari ini, Nordin juga menyifatkan perbuatan melompat parti sebagai perkara biasa dalam politik. Hadir sama ialah tiga timbalan pengerusi perhubungan Keadilan negeri Ibrahim Yusof, Yap Ah Pheng dan M. Arjuna serta kira-kira 15 penyokong parti itu.
Lumpuh
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Jalaluddin berkata, penafian Nordin bahawa parti Keadilan tidak terjejas berikutan tindakan Ruslan dan Rusli itu sebagai 'terpaksa' kerana bimbang kehilangan keyakinan ahli akar-umbi parti itu dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.
"Kita yakin keseluruhan jentera parti Keadilan di Negeri Sembilan telah lumpuh...," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Mengenai kenyataan Presiden parti Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa mereka yang meninggalkan parti itu sudah lama tidak aktif dan tidak memberi komitmen sepenuhnya kepada parti, Jalaluddin berkata:
"Kalau presidennya sudah kata begitu, maksudnya parti Keadilan di negeri itu tidak aktiflah kerana Ruslan sendiri adalah pengerusi perhubungannya. Begitu juga dalam hal Rusli, kerana beliau adakan pemangku ketua pemuda negeri."
"Dalam politik, sekiranya pemimpin besarnya, iaitu pengerusi perhubungan negeri sudah 'surrender', apatah lagi anak-anak buah...maka parti itu dikira sudah habis," tegas Jalaluddin yang juga ahli jawatankuasa Biro Belia Pemuda Umno Malaysia.
Jalaluddin juga menolak dakwaan bahawa pemimpin Keadilan yang menyertai semula Umno itu diberi ganjaran kewangan.
Khabar angin
"Mana ada...tidak ada sebab kita nak bagi mereka wang kerana khabar angin mengenai kemasukan mereka semula ke dalam Umno bukanlah perkara baru.
"Ianya sudah lama kita dengar...malah kemasukan mereka juga tidak ada kena mengena dengan pilihanraya umum yang akan datang," tambah Jalaluddin.
Semalam, Ruslan Kassim mengetuai sekumpulan 12 pemimpin kanan Parti Keadilan Nasional menyertai Umno secara rasmi dan sekaligus mengumumkan langkah keluar daripada parti itu.
Terdahulu, Ruslan bersama-sama 11 pemimpin berkenaan menyerahkan surat perletakan jawatan masing-masing kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail pada tengah harinya.
Mereka ialah Naib Ketua Pemuda Keadilan Malaysia, Mohd. Zahid Mad Arip; Timbalan Pengerusi Pilihan Raya Keadilan, Hamdan Taha; Pengerusi Perhubungan Keadilan Pahang, Dr. Abdul Wahid Ahmad Suhaimie dan Timbalan Ketua Keadilan Pasir Salak yang juga Ketua Pengarang Suara Keadilan, Mohd. Hanafiah Man.
Turut bersama-sama ialah Exco Pemuda Keadilan, Faghrol Azman Abu Bakar dan Shamsul Bahari Shamsuddin; Naib Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Rosli Mohd. Johar; Ketua Keadilan Bahagian Kuala Nerus, Zainuddin Awang; pemimpin Keadilan Sarawak, Datuk Bujang Ulis; Pemangku Ketua Pemuda Negeri Sembilan, Rusli Mohd. Shariff dan Exco Pemuda Keadilan Pahang, Jeffry Nizam.
Kecuali Bujang Ulis, kesemua pemimpin berkenaan adalah juga bekas pemimpin atau ahli Pemuda Umno.

