Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Masalah sampah, terserah S'gor atasinya, kata Chor
Diterbitkan:  Jan 16, 2012 6:14 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Kerajaan Persekutuan tidak akan campur tangan dalam masalah sampah di Selangor kerana kerajaan negeri itu memilih tidak mahu menyertai penswastaan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam.

mca new cabinet member 180308 chor chee heung Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung, berkata Selangor dan Pulau Pinang memilih tidak mahukan penswastaan apabila Akta Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dilaksanakan tahun lalu.

"Saya fikir ini adalah suatu tindakan yang tidak betul (untuk tidak menyertai penswastaan penggurusan sisa pepejal), kerana saya sudah banyak menegaskan bahawa dalam soal kesihatan dan kebersihan awam, politik tidak boleh dicampur-adukkan.

"Sekarang kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi, melainkan kerajaan Selangor kembali kepada kita menyertai skim tersebut. Barulah saya akan mengemukakannya ke peringkat Kabinet untuk mendapatkan kelulusan.

"Bola kini berada di kaki kerajaan Selangor," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulan kementerian itu di Putrajaya hari ini.

alam flora waste management 120609 06 Beliau diminta mengulas aduan penduduk di Selangor tentang kutipan sampah sarap yang tidak menentu berikutan tindakan kerajaan negeri menamatkan kontrak dengan Alam Flora Sdn Bhd tahun lalu.

Chor berkata, penswastaan pungutan sisa pepejal dan pembersihan awam dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan membolehkan pemegang konsesi terpilih membuat pelaburan besar-besaran menggunakan teknologi terkini, jentera dan peralatan moden selain tenaga kerja mahir dalam memberi perkhidmatan lebih cekap.

"Jika semua negeri menyertai sekim itu, barulah ada keselarasan dalam kerja pengurusan sisa pepejal," katanya.

Chor berkata, Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar tambahan minimum RM500 juta setahun untuk memastikan pengurusan perkhidmatan sisa yang berkesan.

alam flora waste management 120609 02 "Rakyat semua tanpa mengira di mana mereka tinggal, selagi kerajaan negeri berada di bawah sekim penswastaan tersebut, rakyat tidak akan menanggung beban membayar lebih kerana sisa pepejal.

"Orang ramai terus membayar cukai taksiran mengikut kadar biasa kepada penguasa tempatan bagi bil taksiran dan bakinya akan ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.

Chor berkata, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) akan mengawasi semua kerja yang dijalankan di negeri mengikut skim tersebut.

"Kalau kontraktor tidak buat kutipan sampah, kita berhak potong bayaran. Inilah sebabnya perkhidmatan bertambah baik setiap hari selepas penswastaan," katanya.

Chor berkata, di peringkat awal, Kerajaan Persekutuan mengharapkan Selangor dan Pulau Pinang menguatkuasakan Akta 672, namun mereka menolak 'walau apapun alasan'.

kl flash flood masjid jamek pc 120607 rubbish "Penswastaan ini bukanlah suatu keputusan yang dibuat semalaman. Ianya diputuskan 13 tahun lalu dan kontraktor dipilih secara tawaran terbuka dan mereka mula membuat kerja. Dalam tempoh itu hanya kerajaan yang meluluskan mereka," katanya.

Di bawah penswastaan pungutan sisa pepejal dan pembersihan awam, Alam Flora Sdn Bhd akan menguruskannya di kawasan tengah dan pantai timur iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Manakala SWM Environment Sdn Bhd mengendalikannya di kawasan selatan meliputi Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sementara Environment Idaman Sdn Bhd ditugaskan mengurus di kawasan utara di Kedah dan Perlis.

- Bernama

ADS