Pengerusi DAP Lim Kit Siang menyarankan Telekom Malaysia Berhad agar kes siasatan terhadap dakwaan rasuah sejumlah RM10.64 juta (300 juta yen) yang diterima badan korporat itu diserahkan kepada Badan Pencegah Rasuah.

"Jika Telekom begitu serius dan ikhlas menjunjung dasar ketelusan dan akauntabliti, reaksi pertama [terhadap dakwaan itu] ialah menjemput secara terbuka BPR untuk menjalankan siasatan penuh," kata Kit Siang kepada malaysiakini hari ini.

"[Telokom] harus memberikan sepenuhnya kerjasama dengan membuka semua akaun dan catatan supaya siasatan berjalan tanpa sebarang sekatan."

Kit Siang juga mencadangkan Telekom agar melaporkan dakwaan dalam laporan akhbar Asahi Shimbun kepada polis agar BPR dapat memulakan siasatannya dengan segera.

Semalam Ketua Eksekutif syarikat telekomunikasi terulung negara ini, Datuk Wira Mohamad Said Mohamed Ali, berkata Telekom memandang serius terhadap tuduhan rasuah tersebut dan akan mejalankan siasatan penuh. Tetapi beliau tidak menjelaskan apakah BPR terlibat membantu siasatan itu. "Jika perlu, syarikat akan meminta bantuan BPR," katanya.

Bagaimanapun apabila dihubungi malaysiakini hari ini, Telekom enggan mengulas lanjut bentuk siasatan dan tindakan yang akan diambil. Syarikat itu juga tidak bersedia menjawab soalan mengenai jawatankuasa siasatan dalaman yang ditubuhkan itu dan bilakah laporan jawatankuasa itu akan disiapkan.

Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Leo Moggie, hari ini pula dilaporkan berkata pihak kementerian masih menunggu laporan selanjutnya dari Telekom berhubung siasatan tuduhan tersebut. "Adalah penting kita mempunyai ketelusan dan akauntabiliti apabila meluluskan kontrak," ulasnya seperti dilaporkan sebuah agensi berita.

Apabila dihubungi malaysiakini hari ini, BPR masih enggan memberikan sebarang ulasan.

Telekom didakwa menerima wang itu dari Mitsui & Co dalam satu kontrak bernilai 10 bilion yen (RM354.7 juta) untuk membeli 800,000 unit kotak suis. Jumlah wang itu dibayar kepada sebuah syarikat perunding di negara ini yang tidak wujud.

Mitsui mendapat tempahan daripada syarikat Telekom pada penghujung 1996 dan kotak suis itu dihantar kepada Telekom antara 1996 hingga 1998. Syarikat Jepun itu membayar rasuah itu pada tahun 1997 kepada agen di negara ini mengikut kontrak jururunding sebagai ''komisyen'' yang dinyatakan sebagai ''kerugian''.