MAS umum pelantikan baru jaya pelan perniagaan
Malaysia Airlines hari ini mengumumkan pelantikan Shane Nolan sebagai Pengarah Komersil Interim dan Al-Ishsal Ishak sebagai Naib Presiden Kanan bagi Pemasaran dan Promosi berkuatkuasa 16 Januari.
Pengambilan anggota baru dalam pasukan kepimpinan Malaysia Airlines itu adalah susulan pelantikan Dr Hugh Dunleavy sebagai Naib Presiden Eksekutif, Rangkaian, Kerjasama, Strategi dan Perancangan dan Shihaj Kutty, Naib Presiden Kanan, Pengurusan Pendapatan yang diumumkan bulan lepas.
"Kami percaya pengalaman profesional dan input mereka bernilai bagi usaha kami untuk melaksanakan dengan jayanya Pelan Perniagaan ke arah mencapai keuntungan bagi kumpulan," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Jauhari dalam satu kenyataan hari ini.
Shane Nolan terlibat dalam perniagaan penerbangan sejak lebih 30 tahun lalu dan mempunyai pengalaman luas dalam pemasaran, jualan, pengurusan projek, bajet dan pengurusan kos, pengurusan perubahan, latihan dan perkhidmatan pelanggan.
Al–Ishsal Ishak menyertai Malaysia Airlines dengan pengalaman luas dalam teknologi maklumat, pembinaan jenama dan pengurusan hubungan pelanggan (CRM).
Antara pelbagai jawatan berkaitan yang dipegang beliau sebelum ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Enabling Asia, CEO Baraka Telecom dan Ketua Pegawai Digital McCann Worldgroup.
- Bernama

