Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini membatalkan permohonan kebenaran merayu dalam kes pertikaian tanah membabitkan peguam Gurbachan Singh selepas memutuskan kegagalan mencapai kuorum apabila bekas presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff meninggalkan panel seketika kuorum bersidang.

    

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, yang mengetuai panel tiga ahli, membenarkan semakan permohonan yang dikemukakan oleh Gurbachan dan empat pihak lagi untuk mengenepikan keputusan panel sebelum ini yang enggan memberikan kebenaran untuk merayu.

    

Katanya panel Mahkamah Persekutuan terdahulu itu tidak dilantik seperti yang sepatutnya di bawah Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakimanan 1964 (CJA) kerana sebahagian daripada pendengaran dilakukan oleh hanya dua hakim selepas Alauddin bangun dan meninggalkan sidang semasa penggulungan oleh peguam pemohon.

    

Mengikut Seksyen 74 CJA menyatakan setiap prosiding Mahkamah Persekutuan hendaklah didengar dan dilupuskan oleh tiga hakim atau lebih yang bilangannya hendaklah ganjil dan sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Hakim Negara.

    

Md Raus, yang bersidang bersama hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Ahmad Maaroop dan Datuk Hasan Lah, berkata pendengaran kes itu terbatal kerana melanggar Seksyen 74.

Permohonan menyemak permohonan itu dikemukakan oleh Gurbachan dan firma guamannya, Tetuan Bachan & Kartar, Simpang Empat Plantations, Regal Establishment Sdn Bhd dan MBf Finance Bhd.

    

Mereka merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka mengembalikan tanah seluas 1,472 hektar di Hutan Melintang, Perak, bernilai RM80 juta kepada 217 pekerja estet.

    

Md Raus berkata walupun terdapat konflik keterangan sama ada Alauddin meninggalkan seketika kuorum bersidang, mahkamah berpandangan bahawa versi pemohon mengenai tatacara sidang lebih berkemungkinan.

    

"Berdasarkan afidavit dan keterangan di hadapan kami, kami dengan selamat boleh menyatakan pengerusi panel (Alauddin) memang meninggalkan sidang untuk seketika sebelum kembali semula," kata Md Raus.

    

Terdapat tujuh afidavit difailkan untuk menyokong tegas bahawa pengerusi panel tiga hakim itu meninggalkan sidang buat seketika sebelum kembali semula manakala pihak responden mencabar dakwaan itu dengan mengemukakan dua afidavit.

    

Md Raus berkata tambahan kepada afifavit pemohon, afidavit orang tanpa kepentingan dalam prosiding itu turut difailkan bagi menyokong penegasan itu.

    

"Kami memerintahkan bahawa permohonan kebenaran merayu didengar semula oleh sebuah panel yang baru dilantik," katanya.

    

Pada 21 April 2010, Hakim Alauddin yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Suriyadi Halim Omar, membuat keputusan yang tidak memihak kepada pemohon.

    

Responden, P.Vellasamy dan 216 sub pembeli tanah berkenaan telah menyaman pemohon, namun kalah dalam pertikaian undang-undang itu pada 2006 apabila Mahkamah Tinggi Ipoh menolak saman tersebut.

Bagaimanapun, pada Disember 2010, Mahkamah Rayuan dalam satu keputusan majoriti 2-1, membenarkan rayuan pekerja dan mengenepikan penghakiman Mahkamah Tinggi serta memerintahkan tanah terbabit dikembalikan kepada pekerja.

    

Dalam pernyataan tuntutan, Vellasamy berkata Gurbachan dan firmanya dilantik sebagai peguamcara bagi menasihati mereka berhubung tindakan undang-undang yang wajar diambil selepas mendapati tanah berkenaan akan dijual secara tender.

    

Mereka mendakwa Gurbachan menggunakan Regal Establishment bagi membeli tanah berkenaan dan menukar hak pemilikan kepada syarikat tersebut.

    

Katanya, Gurbachan dan firmanya dipecat selepas menyedari peguam itu secara putar belit telah menipu mereka.

    

Dalam pembelaan, Gurbachan dan empat yang lain menafikan semua dakwaan tersebut.

    

Peguam Malik Imtiaz Sarwar, Datuk Harpal Singh Grewal dan Jenine Anand Gill mewakili pemohon manakala responden diwakili oleh Tan Sri Cecil Abrahamn, D. P. Vijandran dan Sunil Abraham.

- Bernama