Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama pemimpin dan anggota parti komponen BN, MCA dan Gerakan, di Kuala Lumpur.

Najib, yang diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, pagi ini menghadiri rumah terbuka MCA di ibu pejabatnya di Jalan Ampang di ibu negara.

Ketibaan Najib pada pukul 9.50 pagi disambut oleh pemimpin MCA yang diketuai Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, serta paluan gendang, tarian naga dan singa.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, serta kedua-dua bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menteri-menteri kabinet serta permimpin BN yang lain, termasuk Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden MIC Datuk G. Palanivel dan Presiden PPP Datuk Seri M Kayveas turut hadir pada majlis tersebut.

Najib dan isteri selepas ini dijadual menghadiri rumah terbuka parti Gerakan di Menara PGRM, di Cheras.

Sementara esok, Perdana menteri dijadual menghadiri rumah terbuka BN Pulau Pinang di Tanjong City Marina, Georgetown dan Sabtu ini pula akan menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di Sitiawan, Perak.

- Bernama