Kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Orang Asli dengan menyediakan pelbagai program untuk kesejahteraan hidup mereka termasuk dalam bidang pertanian, ekonomi dan pendidikan.

ismail sabri universiti malaya 161111 Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ( kanan ) berkata kerajaan yakin transformasi yang dilakukan kerajaan pada masa ini membolehkan masyarakat itu bersaing dengan masyarakat lain.

"Pada tahun ini kerajaan menyediakan peruntukan RM90 juta bagi melaksanakan pelbagai projek prasarana di perkampungan Orang Asli seluruh negara," katanya ketika berucap di majlis jalinan mesra dan sukan rakyat Pergerakan Pemuda dan Wanita Umno Bahagian Bera dengan masyarakat Orang Asli di Pos Iskandar di Bera, semalam.

Beliau berkata kerajaan tidak mahu Orang Asli tercicir dalam pembangunan, pendidikan dan juga ekonomi malah, kerajaan mahu masyarakat pribumi itu lebih maju dan berdaya saing.

"Pelbagai peluang yang disediakan kerajaan perlu direbut agar Orang Asli tidak tercicir arus kemajuan," katanya.

Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera yakin masyarakat Orang Asli akan terus menyokong kerajaan dengan terus memilih BN pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

- Bernama