Polis Diraja Malaysia hari ini menafikan hebahan palsu bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar telah meninggal dunia di London.

Dalam laman Facebook, Bukit Aman berkata tindakan itu dipercayai disebarkan pihak tertentu yang berniat jahat.

“Beliau dalam keadaan baik dan berada di sana bagi lawatan kerja bersama Polis United Kingdom,” petik tulisan di laman Facebook itu.

Ismail juga dilaporkan memenuhi setiap program diaturkan sempena lawatan rasmi beliau ke United Kingdom.

Beliau berlepas ke United Kingdom, 25 Januari lalu dengan ditemani isteri, Puan Sri Suriati Md Sobri .

Ismail dijadual akan turut menyampaikan taklimat mengenai perkembangan keselamatan di Malaysia kepada pucuk pimpinan polis dan pasukan keselamatan negara itu.

perkasa visit kdn on isa 290911 hishamuddin Sementara itu, Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin  Hussein mengutuk sekeras-kerasnya khabar angin yang mengatakan Ismail telah meninggal dunia di London.

Beliau berkata KPN yang kini berada di London bagi tujuan urusan rasmi dengan Polis United Kingdom, berada dalam keadaan sihat dan akan pulang ke Malaysia Khamis ini.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya tohmahan dan cerita-cerita jijik (khabar angin tentang KPN), kerana beliau kini berada di luar negara bertugas dalam memastikan rakyat dan keselamatan negara ini sentiasa terjamin," katanya kepada pemberita di Kluang hari ini.

Ismail berada di London bagi mengembangkan lagi kerjasama rangkaian di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan agensi perisikan MI5 dan MI6 United Kingdom.