NUJ lulus resolusi janji liputan p'raya adil

   

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) hari ini meluluskan dua resolusi berkaitan liputan pilihan raya umum serta kebebasan berucap, bersuara dan berhimpun pada mesyuarat perwakilan luar biasa di Kuala Lumpur.

Resolusi berkenaan diluluskan sebulat suara pada mesyuarat itu yang dirasmikan Presiden kesatuan Chin Sung Chew dan dihadiri kira-kira 60 anggota NUJ dari lapan organisasi media.

azlan Resolusi itu antara lain menyatakan anggota media yang membuat liputan pilihan raya umum harus berpegang kepada prinsip liputan yang adil bagi memastikan laporan seimbang.

NUJ juga mencadangkan agar mana-mana pihak yang memenangi pilihan raya umum mewujudkan jawatankuasa pilihan parlimen bagi meneliti semua undang-undang sedia ada berkaitan kebebasan berucap, bersuara dan berhimpun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihan raya umum itu juga harus berjanji untuk meneliti semua undang-undang berkaitan atau memasukkan perkara tersebut dalam manifesto mereka.

Pada sidang akhbar selepas itu, Setiausaha NUJ  V Anbalagan berkata mereka akan menghantar memorandum kepada semua majikan anggota NUJ dan parti politik bagi menjelaskan perkara tersebut secepat mungkin.

"Pada sesi perbahasan, ada gesaan agar pemberita mengetepikan fahaman politik mereka dan melaksanakan tugas dengan adil dan seimbang. Ada juga cadangan agar Kementerian Dalam Negeri berhenti daripada menelefon editor apabila mereka melakukan kesilapan," katanya.

Katanya NUJ akan menyerahkan memorandum itu kepada yang berkenaan pada persidangan Parlimen yang akan bermula 12 Mac ini.

Terdahulu, Chin melancarkan buku kecil panduan keselamatan kepada wartawan bagi digunakan ketika membuat liputan peristiwa berisiko seperti gempa bumi, banjir besar, kekacauan dan juga cara menangani stress pascatrauma.

Pada mesyuarat itu NUJ turut memperkenalkan logo baru sempena ulang tahun ke-50 kesatuan yang akan disambut Ogos ini.

NUJ pada masa ini dianggotai kira-kira 1,500 warga media di seluruh negara.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda