Berikutan dengan kejadian pada hari penamaan calon di Kuala Kedah yang menghalang calon pembangkang masuk ke dalam dewan pencalonan, Presiden PAS Dato' Haji Abdul Hadi Awang berasa amat kesal dan kecewa.

Abdul Hadi juga kecewa apabila pegawai dan kakitangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menutup pintu masuk ke tempat penamaan calon setelah calon-calon BN masuk ke tempat penamaan itu.

Pada hari penamaan calon yang lepas, seorang pegawai polis yang bertindak atas arahan SPR telah menghalang Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Nasution Ismail dan dua orang calon PAS daripada memasuki pusat pencalonan untuk menyerahkan borang pilihanraya.

Pintu masuk itu hanya dibuka selepas pihak polis yang lain campur tangan dan mengarahkan agar dibuka.

"Calon PAS (dan Keadilan) nyaris-nyaris tidak dapat menyerahkan kertas pencalonan akibat daripada sikap pegawai dan kakitangan SPR," kata Abdul Hadi dalam kenyataan medianya.

Antara calon BN yang masuk lebih awal ke pusat penamaan calon ialah Menteri Kedah Dato' Seri Syed Razak Syed Zain yang bertanding di salah satu DUN kawasan parlimen Kuala Kedah.

Laporan polis

Syed Razak akan berdepan dengan Saifuddin di kerusi DUN Kubang Rotan . Pada tahun 1999, Syed Razak mengalahkan calon PAS Kassim Mat Isa dengan majoriti 1,985 undi. Syed Razak memperolehi 7,905 undi manakala Kassim mendapat 5,920.

Tambah Abdul Hadi lagi, beliau amat kesal dengan sikap dan peraturan kakitangan yang menyebelahi calon-calon sesebuah parti sedangkan mereka sepatutnya berkecuali untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai suruhanjaya pengendali pilihanraya.

Pada hari pencalonan yang sama, berlaku sedikit kekecohan apabila tiba-tiba terdengar bunyi kaca dipecahkan. Walau bagaimanapun, menurut calon-calon PAS, mereka tidak tahu-menahu apa yang dipecahkan dan siapa yang lakukannya.

Sehubungan dengan halangan itu, satu aduan telah dibuat terhadap seoarng pegawai polis di ibu pejabat polis di Kedah Sabtu lalu.