mk-logo
Berita
'Suami saya tidak ganas', kata isteri imam Hoslan

Isteri kepada Hoslan Hussin yang dijatuhkan hukuman penjara setahun di atas kesalahan menghina mahkamah kerana melemparkan seliparnya ke arah panel hakim, menyifatkan suaminya bukan seorang yang ganas seperti yang didakwa.

Noorliza Mat Isa, 43, berkata, Hoslan yang merupakan seorang imam juga tidak pernah sesekali memarahi dan memukul anak-anaknya.

Noorliza Mat wife of the shoe-throwing imam Malah, Noorliza menambah, suaminya itu juga bukan seorang panas baran.

"Suami saya tidak ganas seperti yang hakim kata. Dia marah saya, anak-anak pun tidak. Saya dah berkahwin dengan dia 17 tahun, saya tahulah. Pukul anak-anak pun dia tak pernah.

"Cuma dia seorang yang tegas bila melibatkan soal agama," katanya ketika ditemui Malaysiakini di rumahnya malam tadi

Kelmarin, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Hoslan.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin ketika menyampaikan hukuman dilaporkan berkata, penjara setahun adalah hukuman setimpal bagi kes berkenaan.

Beliau juga mendapati Hoslan tidak menunjukkan imej seorang imam yang berbudi pekerti tinggi sebagai seorang yang menyandang jawatan keagamaan.

Sebaliknya, tindakan imam itu menunjukkan sikap "angkuh, biadap, riak, ganas dan langsung tidak menghormati institusi (kehakiman)," kata Zulkefli.

Noorliza Mat wife of the shoe-throwing imam Dalam pada itu, menceritakan detik-detik ketika mendengar hakim menjatuhkan hukuman terhadap Hoslan, Noorliza berkata, dirinya sememangnya sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku.

Sambil menganggap hukuman yang dijatuhkan tidak adil, Noorliza turut mengatakan tindakan suaminya melemparkan selipar sebagai satu tindakan yang wajar.

"Tetapi apa pun, saya mengharapkan agar hukumannya diringankan atau singkatkan tempoh hukuman itu.

"Saya memang bergantung semuanya pada dia (Hoslan). Bila dia tiada, saya memang terasa sangat. Saya tak pandai memandu dan gaji saya kecil, RM750 sebulan. Memang tak cukup untuk menampung tujuh anak saya yang masih sekolah.

"Sebelum ini semuanya suami yang buat. Jadi, sekarang saya perlu berdikari. Tempoh setahun bukan sekejap... Tetapi walau apa pun, saya redha dan menganggap ini sebagai ujian," kata Noorliza yang bertugas sebagai pembantu guru PASTI.

Hasil perkahwinan Hoslan dan Noorliza, mereka dikurniakan tujuh orang anak, masing-masing berumur 16, 15, 14, 12, 11, 8 dan 6 tahun.

Hoslan berasal daripada Slim River dan dibesarkan di Kampung Pandan manakala Noorliza dari Sungkai, Perak.

Hoslan dan Noorliza merupakan ahli PAS seumur hidup sejak tahun 1998 sehingga kini.

NONE Menurut Noorliza, anaknya yang sulung kini belajar di Kuantan dan yang kedua di Klang. Manakala anak yang ketiga pula di Kelantan. Selebihnya mereka bersekolah di sebuah sekolah rendah agama swasta berhampiran dan di PASTI tempat beliau bekerja.

Selain itu, Noorliza turut menambah, beliau bersyukur kerana mempunyai anak-anak yang memahami walaupun masih kecil.

Katanya, dari awal lagi beliau telah menceritakan dan memberitahu

kepada semua anaknya bahawa bapa mereka tidak bersalah dan apa yang dilakukannya merupakan satu perjuangan.

"Saya kumpulkan anak-anak, saya ceritakan pada mereka yang ayah tak salah. Itu semua perjuangan. Alhamdulillah mereka faham. Cuma yang bongsu kadang-kadang tanya bila ayah nak balik.

"Nak kata sedih, memang saya sedih. Tapi anak-anaklah penguat saya," katanya.

Sementara itu, semalam, Pemuda PAS mensasarkan RM20,000 kutipan derma bagi tabung membantu keluarga Hoslan.

Dan hari ini, Muslimat PAS berkata akan menyumbang RM800 sebulan selama setahun kepada Noorliza untuk membantunya membesarkan anak-anaknya.

Noorliza Mat wife of the shoe-throwing imam Sehubungan itu, Noorliza berkata, beliau amat berterima kasih

kepada pihak yang ingin membantu dan menganggapnya sebagai pendorong bagi dirinya untuk menjadi lebih kuat dan hidup berdikari sementara suaminya di dalam penjara.

"Bagi yang nak membantu saya sangat mengalu-alukan kerana memang tak cukup untuk saya menyara anak-anak saya dengan duit gaji yang ada. Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak," ujarnya.

Bagi yang ingin menderma terus kepada Noorliza, boleh menderma ke akaun CIMB- 12530022498528 atas nama Noorliza Mat Isa.

VIDEO | 1.37 mins

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS