Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walaupun upacara mengangkat sumpah bagi menyambung tugas sebagai exco Kedah dikatakan ditetapkan minggu depan, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah 1 Datuk Phahrolrazi Zawawi sendiri masih kabur tentang perkara itu.

"Saya masih belum terima surat untuk angkat sumpah," katanya melalui jawapan ringkas melalui SMS kepada Malaysiakini .

NONE The Star hari ini melaporkan menteri besar mengesahkan Phahrolrazi dan Dr Ismail Salleh akan mengangkat sumpah minggu depan, itu dijangka berlangsung pada 5 April.

Harian itu juga melaporkan terdapat kemungkinan portfolio kedua-dua pemimpin kanan PAS itu akan dikecilkan.

Semalam beliau enggan mengulas isu penyambungan semula tugasnya kerana belum mendapat surat rasmi daripada kerajaan.

Akhir bulan lalu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dilapor berkata kedua-dua exco tersebut - Phahrolrazi dan Dr Ismail Salleh - "masih berpeluang dilantik semula" selepas tamat tempoh khidmat pada tarikh itu.

Sebelum ini, kedua-dua tokoh tersebut enggan dilantik semula menyambung tugas kerana tidak berpuas hati berkaitan soal pentadbiran kerajaan negeri terutama Phahrolrazi yang mengakui mempunyai perbezaan 'kritikal' dengan Azizan.

Hal demikian menyebabkan pucuk pimpinan parti campurtangan menyelesaikan kemelut yang berlaku selepas mengadakan pertemuan dan mesyuarat dengan kepimpinan PAS negeri selama lebih dari lima jam di Alor Setar, Kedah awal bulan ini.

Hasilnya PAS mengarahkan kedua-dua timbalan pesuruhjaya PAS negeri itu menerima semula jawatan berkenaan dan mereka akur dengan arahan tersebut, sekaligus mengaktifkan semula jawatankuasa pemandu yang dilaksanakan sewaktu PAS menguasai Kelantan pada 1990.

Mengulas sama ada beliau selesa selepas kepimpinan Pemuda PAS negeri mendesaknya dan Ismail digugurkan dalam kepimpinan negeri susulan kontroversi itu, Phahrolrazi berkata desakan itu "sebahagian daripada asam garam berpolitik".

"Walaupun PAS sebuah parti Islam, keadaan ini tidak dapat dielakkan di mana ada pihak yang menyokong dan tidak menyokong kita.

"Ini sebahagian daripada asam garam berpolitik seperti pepatah Melayu "kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai"," tegasnya.

Sehubungan itu, Phahrolrazi yang juga ADUN Pengkalan Kundor berkata tidak timbul soal selesa atau tidak berhubung perkara itu.

Sementara Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dilapor berkata tuntutan daripada Pemuda negeri yang mahu mereka berundur sebagai "pandangan peribadi."

Bahkan, beliau menegaskan, PAS tidak menerima apa-apa pandangan rasmi daripada sayap parti itu berhubung perkata itu.

ADS