Pegawai khas kepada ketua menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari menuntut supaya Umno dan juga media TV3 dan Utusan Malaysia supaya bertanggungjawab atas "ugutan ganas" oleh pertubuhan pro-Melayu, PERKASA berhubung penjualan sebidang tanah rizab di negeri tersebut.

Zairil berkata, ugutan berkenaan tidak boleh diambil ringan kerana media berkenaan telah menyiarkan "fitnah bahaya dan rasis" bahawa ketua menteri tersebut, Lim Guan Eng telah menyebabkan kehilangan tanah rizab masjid tersebut.

Kenyataannya itu timbul ekoran perhimpunan yang dijalankan PERKASA, Jumaat lalu untuk menuntut Lim supaya menjawab sekiranya tanah rizab di Bayan Mutiara itu telah dijual kepada pemaju.

Pertubuhan itu juga mahu Lim menjelaskan mengapa tapak masjid dan sekolah itu tidak diletakkan di bawah Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

"Saya telah dimaklumkan bahawa PERKASA telah berkelakuan secara tidak beradab dan ganas, sampai mengugut untuk menentang ketua menteri secara peribadi seperti yang dilaporkan dalam New Straits Times (semalam) sekiranya ketua menteri tidak menjawab dalam masa tujuh hari.

"Adakah PERKASA akan menganjurkan demonstrasi yang sama dan membuat ugutan yang sama terhadap Umno jika dakwaan-dakwaan ini dibuktikan sebagai fitnah dan pembohongan?," soalnya.

Katanya, ugutan seperti itu membimbangkan para penyokong Lim yang beragama Islam.

"Ramai orang awam, terutamanya yang beragama Islam, sudah pun menasihati supaya ketua menteri lebih berhati-hati," katanya.

Oleh itu, Umno, TV3 dan Utusan Malaysia perlu bertanggungjawab sekiranya keselamatan Lim terjejas ekoran ugutan berkenaan, tambahnya.

"Pihak polis juga harus mengambil berat tentang impak fitnah Umno yang mungkin menjejaskan keselamatan Ketua Menteri," kata Zairil lagi.

Tambahnya, polis sebelum ini tidak mengambil tindakan ke atas media Umno Online yang menyiarkan dakwaan bahawa anak lelaki ketua menteri itu telah mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan.

"Walaupun kejadian ini telah dibuktikan sebagai fitnah, sampai sekarang tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak polis," katanya lagi.

Ketua pemuda Umno Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin yang menimbulkan dakwaan berkenaan juga pada Jumaat lalu mencabar Lim supaya mengemukakan saman terhadap dirinya berhubung dakwaan berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, Shaik Hussein berkata Lim juga perlu mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan kemungkin berlaku "pecah amanah dan rasuah" dalam penjualan 41.6 hektar tanah di selatan Jambatan Pulau Pinang.

Menurutnya lagi, Lim juga patut menyamannya berhubung dakwaan bahawa penjualan tanah itu oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang kepada Ivory Kumpulan Properties Group Berhad, tidak dibuat melalui tender terbuka.

Lim dan Ivory Properties sebelum ini telah menegaskan bahawa penjualan bernilai RM1 bilion itu dijalankan melalui tender terbuka, dengan mengurangkan tempoh pinjaman dari lapan kepada lima tahun.