Umno diminta utamakan perpaduan rakyat Tganu
Kerajaan baru Terengganu yang diterajui oleh Umno diminta bersifat proaktif dengan membuat penilaian terhadap keberkesanan pemerintahan kerajaan negeri yang lalu sebelum membuat sebarang perubahan yang drastik.
Kerajaan baru Terengganu yang diterajui oleh Umno diminta bersifat proaktif dengan membuat penilaian terhadap keberkesanan pemerintahan kerajaan negeri yang lalu sebelum membuat sebarang perubahan yang drastik.
"Walaupun PAS dan Umno mempunyai fahaman politik yang berbeza, selepas pilihanraya ia merupakan masa untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan semata-mata untuk membalas dendam," kata Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, Muhd Ramadhan Fitri Ellias
"Saya berharap rombakan ini bukan dibuat atas alasan pandangan politik yang berbeza," katanya ketika diminta mengulas langkah kerajaan baru di Terengganu untuk menyusun semula pentadbiran masjid di negeri itu selaras dengan konsep Islam Hadhari, Terengganu Bestari.
Laporan Utusan Malaysia hari ini memetik Pengarah Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Terengganu, Datuk Engku Mohamed Engku A Rahman sebagai berkata jawatankuasa (AJK) baru akan dilantik untuk mentadbir lebih 500 masjid di negeri itu, dan membatalkan perlantikan yang dibuat sebelum ini.
Menurut laporan itu lagi, AJK masjid bertanggungjawab mentadbir masjid termasuk menyediakan pelbagai program bagi mengimarahkan tempat ibadat itu dan menyatukan masyarakat tempatan.
Menurut Muhd Ramadhan, kerajaan perlu mengutamakan beberapa perkara sebelum membuat sebarang perubahan supaya ianya tidak dianggap semata-mata bermotifkan politik.
"Sebelum melakukan rombakan, perlu dibuat kajian secara menyeluruh tentang peranan dan fungsi kerajaan negeri supaya ianya tidak menjejaskan stabilan dalam negeri, akibat perubahan yang drastik," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Keadaan semasa
Beliau menyifatkan sebarang perubahan yang bermotif balas dendam bukan sahaja merugikan rakyat tetapi juga akan memecahbelah rakyat Terengganu.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), Sahari pula berpendapat sebarang rombakan dalam pentadbiran boleh dilakukan mengikut keadaan dan situasi semasa.
Bagaimanapun, katanya, setiap perubahan yang mahu dilakukan hendaklah bukan bermotifkan politik tetapi perlu diambil kira keserasiannya.
"Kita seharusnya memberi ruang kepada Umno untuk membuat perubahan baru...dan lepas itu boleh kita menilainya," katanya kepada malaysiakini .
Sementara itu, Yang Dipertua Pesatuan Ulama Malaysia (PUM), Ustaz Ghani Shamsudin pula menyifatkan tindakan melantik AJK masjid baru di Terengganu sebagai satu satu propangada kerajaan.
Katanya, kerajaan BN tidak wajar membuat tindakan awal sedemikian kerana keputusan pilihanraya umum yang baru lalu masih dipersoalkan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.