Seorang peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mendakwa telah dipeluk dan diraba oleh seorang pembantu perubatan sewaktu menerima rawatan bagi kecederaan di bahagian kakinya di Kem PLKN di Seri Impian Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Sehubungan itu, keluarga peserta berkenaan telah melaporkan perkara itu kepada pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Setakat ini tiada laporan polis dibuat tetapi Chow berkata, beliau akan menasihatkan keluarga peserta terbabit supaya membuat laporan berhubung kejadian secepat mungkin.

Ketika dihubungi malaysiakini , Chow yang juga merupakan ahli Parlimen Tanjung berkata, menurut kakak mangsa, kejadian itu berlaku ketika adiknya terpaksa berehat di kem tersebut untuk rawatan kerana mengalami kecederaan di kakinya.

Mangsa memberitahu keluarga demikian sewaktu pulang bercuti pada hari Sabtu lepas, yang pembantu kesihatan yang merawatnya itu telah menggunakan bahasa berunsur seksual "Ah Moi nak ciumkah? Lepas cium baru tak sakit"

Kemudian pada pagi Rabu, sewaktu pergi untuk mendapat rawatan lanjut, mangsa mendakwa pembantu perubatan yang sama telah meraba dan memeluk mangsa dan seorang lagi rakan yang menemaninya.

Aduan

Mangsa kemudiannya membuat aduan kepada pengurus pentadbiran kem tersebut, Lee Eng Koi.

Menurut Chow lagi, beliau kemudiannya mendapat penjelasan lanjut daripada Lee yang mengaku memang beliau ada menerima aduan berhubung perkara tersebut.

Katanya, Lee memberitahunya yang beliau telah memberi amaran keras kepada pembantu perubatan tersebut dan melarangnya daripada datang lagi ke kem tersebut.

Chow mendakwa, malah Lee juga mengaku pernah menerima aduan mengenai kejadian yang sama berlaku di kem tersebut sebelum ini.

Sehubungan itu, Chow menggesa Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Razak supaya membuat pemeriksaan di semua kem LKPN bagi memastikan keselamatan peserta, terutama di kalangan wanita, terjamin.

Sementara itu, menurut laporan Bernama , Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali meminta institut pengajian tinggi yang menempatkan para peserta PLKN supaya melonggarkan peraturan memandangkan mereka mungkin mengalami tekanan untuk menyesuaikan diri dengan peraturan berkenaan.

Peraturan

"Saya ada terbaca dalam akhbar, seorang peserta PKN menulis bahawa di kem PLKN dia merasa bebas dan relaks tetapi bila masuk ke institusi pendidikan dia tertekan kerana terlalu banyak peraturan.

"Seperti di Universiti Teknologi Mara (UiTM), pelajarnya adalah bumiputera dengan 90 peratus Islam tetapi peserta PLKN terdiri daripada pelbagai kaum," katanya ketika diminta mengulas mengenai beberapa kejadian pergaduhan yang membabitkan peserta PLKN..

Rabu lalu, tiga peserta kumpulan kedua PLKN di Kem PLKN universiti terbabit cedera dipercayai dibelasah sekumpulan peserta senior, mengakibatkan seorang daripada mereka cedera di mata kiri manakala dua rakannya di kepala dan badan.

Sehari sebelum itu, dua kumpulan peserta senior dan junior juga bergaduh sesama mereka selepas berlaku perselisihan faham.

Tajol Rosli berkata, beliau juga telah mengarahkan dua ahli Exco kerajaan negeri yang baru dilantik untuk menyiasat punca kejadian dua pergaduhan melibatkan peserta PLKN di UiTM Seri Iskandar.

Kedua-dua ahli Exco itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan, Sumber Manusia dan Multimedia Datuk Dr Zambry Abdul Kadir serta Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Kebudayaan, Belia, Sukan, Kesenian dan Warisan Datuk Mohd Zaim Abu Hassan.

Katanya, walaupun program PLKN bukan program kerajaan negeri tetapi tindakan segera perlu diambil memandangkan kejadian itu berlaku di Perak. "Saya berharap ini akan jadi insiden pertama dan terakhir," katanya.