Kes Baharuddin: Peguam fail permohonan dokumen
Peguam keluarga Baharuddin Ahmad memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi semalam untuk mendapatkan beberapa dokumen selepas terdapat percanggahan pengakuan beberapa saksi dalam inkues koroner.
Mereka mahukan kenyataan saksi - yang juga dikenali sebagai "kenyataan 112" -- yang dirakamkan polis daripada kesemua saksi.
Sebagai tambahan, dokumen yang dipegang pihak berkuasa awam mungkin juga diperlukan, termasuk yang dipegang Hospital Kuala Lumpur di mana allahyarham dibedah siasat.
Baharuddin ( foto ) meninggal dunia dalam perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai tahun lalu selepas rebah di bangunan Avenue K di Kuala Lumpur.
Ketika dihubungi, peguam Ahmad Jufliz Faiza berkata, isu itu timbul apabila pengakuan pegawai penyiasat kes itu Major Razali Mahmood bertentangan dengan pengakuan anak Baharuddin sebelum itu.
Menurut peguam, Razali memberitahu inkues bahawa anak Baharuddin - Mohd Nasrul Baharuddin - memaklumkannya bapanya mempunyai darah tinggi.
Bagaimanapun pengakuan Mohd Nasrul pada 30 Januari memberitahu bapanya tidak menderita sebarang penyakit.
"Mesti ada juga percanggahan lain yang kita tidak tahu," kata Ahmad Jufliz ketika dihubungi Malaysiakini malam tadi.

