Kebanyakan golongan remaja gagal mendaftar sebagai pengundi mungkin berpunca daripada larangan terhadap mahasiswa pusat pengajian tinggi (IPT) daripada bergiat aktif dalam politik, kata Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM), Muhd Ramadhan Fitri Ellias.

Katanya, hakikat ini diakui secara tidak langsung oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa kebanyakan pengundi yang tidak mendaftar adalah terdiri daripada golongan muda.

"Ini menunjukkan kesedaran mahasiswa adalah kurang. Untuk menjadi warga yang bertanggungjawab, mahasiswa seharusnya melibatkan diri dalam politik," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Sehubungan itu, Muhd Ramadhan menegaskan perlunya Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dinilai semula supaya ianya lebih mementingkan sifat-sifat kemanusiaan.

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas kes tiga pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang diberi surat tunjuk sebab kerana didakwa terbabit berkempen untuk naib presiden Keadilan, Tian Chua, yang bertanding bagi kerusi Parlimen Batu pada pilihanraya umum yang baru lalu.

Mereka menerima surat itu daripada pihak universiti berkenaan, bertarikh 1 April lalu dan diberi tempoh seminggu sehingga Khamis ini untuk menjawabnya.

Mengulas lanjut mengenainya, Muhd Ramadhan menegaskan perlu ada satu yang tepat mengenai kes-kes mahasiswa didakwa terlibat dalam kempen politik.

"Mahasiswa tidak seharusnya dihalang untuk terlibat dalam politik. Tanggungjawab mereka ialah mendapat maklumat yang adil kerana mahasiswa juga layak untuk mengundi," tambahnya.

Peluang

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju jika ada golongan mahasiswa yang menjadi kuda tunggangan parti-parti politik tertentu.

"Mahasiswa seharusnya diberi peluang memberi pendapat sama ada mengenai pihak kerajaan atau parti pembangkang. Mereka seharusnya diberi ruang untuk berperanan dalam sistem demokrasi negara," tambahnya.

Sambil menggesa supaya Auku dinilai semula, Muhd Ramadhan berkata, terdapat banyak contoh kesalahan dan pelaksanaan hukumannya

yang memihak kepada pihak tertentu.

Selain itu, katanya, Auku juga memberi kuasa yang terlalu luas kepada naib canselor universiti sehingga boleh mengakibatkan berlakunya ketidakadilan terhadap pelajar terbabit.

"Kekangan seperti hak untuk berkumpul, hak untuk berpersatuan dan hak untuk bersuara juga perlu dinilai," tambahnya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim pula berpendapat golongan mahasiswa boleh menyertai politik tetapi mereka perlu tertakluk kepada Auku.

"Mereka boleh menyertai politik tetapi tidak boleh melanggar peraturan universiti. Oleh itu, bagi mereka yang sanggup membantu parti politik (berkempen), kenalah menanggung risikonya," tambahnya.

Apabila ditanya apakah Auku perlu dimansuhkan kerana ia mencengkam hak asasi mahasiswa, Suhaimi berpendapat akta ini boleh dibahas secara terbuka untuk kebaikan bersama.