Koh hanya akan berkhidmat hingga pilihan raya
Beliau juga mengulangi pendirian untuk tidak bertanding dalam pilihan raya umum akan datang dan akan memutuskan masa depannya dalam parti menjelang pemilihan parti berkenaan selepas ini.
"Saya mengulangi keputusan sebelum ini untuk tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang, namun akan akan menyokong sepenuhnya kempen BN dan rakan-rakan saya.
"Selepas itu, saya akan berkhidmat sepenuh masa dengan Gerakan sehinggalah pemilihan parti, pada Mesyuarat Perwakilan Nasional, atau sebelumnya, di mana saya akan buat keputusan berhubung fungsi saya dalam parti di masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengangkat sumpah sebagai Senator Dewan Negara untuk penggal kedua hari ini yang juga tanggal penting sempena 30 tahun khidmatnya dalam politik.
Katanya, pelantikan itu akan membolehkan beliau bekerjasama dengan anggota lain dalam pasukan perdana menteri dan juga sebagai pengerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
"Saya juga akan membawa Akta Rukun Tetangga ke Dewan Rakyat selepas pertengahan April dan Dewan Negara pada awal Mei, selain menghadiri beberapa komitment penting kerajaan dalam mempersiap GERAKAN untuk menghadapi pilihan raya umum," katanya.

