Kerajaan disarankan supaya mengutamakan pengambilan golongan belia yang menganggur dan pelajar yang bermasalah bagi mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Ketika menyarankan demikian, Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata ia akan dapat memastikan objektif dan matlamat PLKN dapat dimanfaat sepenuhnya oleh para peserta program tersebut.

Ketika dihubungi malaysiakini hari ini, beliau berkata, matlamat dan objektif PLKN sememangnya baik tetapi ia harus dikaji semula, dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

Langkah itu juga, katanya akan dapat memastikan semua masalah yang dihadapi sepanjang berjalannya program PLKN sekarang, tidak akan berulang di masa depan.

Beliau menyarankan demikian ketika mengulas rancangan Majlis Khidmat Negara untuk mengkhususnya pengambilan pelatih PLKN pada masa depan kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja, bagi mengelak kejadian tidak diingini sepertimana berlaku sekarang.

Sejak PLKN dimulakan, beberapa kejadian pergaduhan antara para peserta dilaporkan berlaku di beberapa buah kem latihan di Terengganu, Pulau Pinang dan Perak.

Menurut pengerusi majlis tersebut, Prof Datuk Dr Ahmad Fawzi Basri, remaja yang sudah bekerja atau berkahwin serta sudah lama meninggalkan alam persekolahan atau lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak lagi diterima ke program tersebut.

Pertimbang semula

Katanya, ini kerana percampuran antara remaja lepasan SPM dan mereka yang sudah lama meninggalkan alam persekolahan atau sudah berkahwin, didapati boleh menimbulkan masalah akibat perbezaan kematangan.

Mengulas lanjut mengenainya, Salahudin berpendapat tumpuan kepada pelajar SPM sahaja mungkin boleh menggangu pelajaran mereka nanti.

Sebaliknya, beliau berpendapat, tumpuan perlu diberikan kepada golongan beliau, terutama mereka yang menganggur dan bermasalah untuk diberi bimbingan dan dilatihan melalui PLKN.

Sementara itu, Pengerusi Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid juga berpendapat perlunya pelaksanaan PLKN dikaji semulanya dari aspek kandungan, orientasi dan pengurusan program tersebut.

"Sekiranya program itu tidak memberi sebarang kesan, ia seharusnya dipertimbang semula sama ada untuk diteruskan atau dihapuskan," katanya ketika dihubungi malaysiakini .

Menurut Mohd Azmi, modul PLKN perlu dikaji secara menyeluruh untuk menentukan sama ada ia sesuai dengan budaya masyarakat tempatan.

Dakwanya, ini kerana modul tersebut dirangka oleh pihak luar negara yang tidak mementingkan aspek pengukuhan rohani dan nilai-nilai yang diharapkan.

Forum

"Modul PLKN yang bersifat fizikal ini gagal membaiki aspek moral pelajar. Oleh itu, ia perlu dikaji semula," tambahnya

Ditanya adakah LPKN sesuai untuk pelajar lepasan SPM, beliau pula berpendapat program tersebut seharusnya menumpukan kepada aspek pengukuhan peribadi pelajar, dengan tumpuan khusus kepada mereka yang bermasalah.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM), Muhd Ramadhan Fitri Ellias menyarankan supaya kerajaan menganjurkan forum awam untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak bagi mengatasi kelemahan pada PLKN.

"Semua pihak, tidak kira kerajaan ataupun pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu peluang untuk menyuarakan pandangan mereka," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pertahanan supaya bersifat lebih terbuka dan bersedia menerima teguran semua pihak mengenai kelemahan dalam pelaksanaan PLKN kali ini.

"PLKN perlu lebih menitikberatkan dalam soal pembinaan mentaliti untuk melahirkan warga yang berminda cemerlng, kritis dan mampu menilai bagi membentuk generasi yang baik," tegasnya.

Disiplin

Manakala Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim berpendapat latihan khidmat negara ini seharusnya diteruskan kerana ia mampu mendisiplinkan remaja dari segi daya tahan dan daya intelektual.

"Walaupun banyak kelemahannya, ia merupakan satu permulaan yang baik, dan masih ada ruang untuk memperbaiki dan mengatasinya," tegasnya.

Pengarah Eksekutif Suaram, Cynthia Gabriel menegaskan pihaknya dari awal lagi tidak menyokong latihan khidmat negara.

Menurutnya, ini kerana program tersebut dirancang dan dilaksanakan dalam masa yang singkat dan tergesa-gesa.

"Terdapat banyak soalan yang masih timbul dan tidak dijawab oleh pihak kerajaan dan malangnya mereka masih meneruskannya," tambanya.

Katanya, Suaram tidak menyetujui rancangan khidmat negara kerana beranggapan pihak pengurusan PLKN belum bersedia sepenuhnya untuk melaksanannya.